Kesulitan yang dihadapi rakyat Selangor sejak hampir lima tahun
lepas mendorong Barisan Nasional (BN) sedaya upaya mahu memenangi semula negeri
itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata BN bukannya mahu kuasa semata-mata,
sebaliknya jika diberi mandat menerajui semula Selangor, parti itu akan
melakukan pembangunan yang selaras dengan kehendak kerajaan pusat supaya rakyat
negeri itu tidak dibelenggu banyak masalah.
"Kita telah dapat lihat bahawa kalau kerajaan pusat dan
negeri tidak datang daripada parti yang sama terlalu banyak masalah akan berbangkit...masalah-masalah
yang tidak sepatutnya dipolitikkan seperti bekalan air.
"...yang mana hasrat kerajaan untuk meyediakan bekalan air yang mencukupi melalui projek Langat 2 sampai sekarang tidak dapat developement order (perintah pembangunan) daripada kerajaan negeri," katanya dalam program 'Conversation With The PM' yang disiarkan menerusi TV3 malam ini.
Disebabkan masalah itu, Perdana Menteri berkata kerajaan Pusat
terpaksa membelanjakan RM600 juta dan menambah RM121 juta lagi bagi mencari
penyelesaian jangka pendek untuk rakyat Selangor.
"Kalau kita tidak buat akan menyusahkan rakyat dan banyak
projek pembangunan tertangguh sekarang ini sebab tiada jaminan bekalan air. Ini
menyulitkan rakyat dan membantutkan proses pembangunan negara," katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata pemberian Bantuan Rakyat
1Malaysia (BR1M) bukan gimik pilihan raya seperti yang digembar-gemburkan
pembangkang.
Sebaliknya, beliau berkata pemberian bantuan berkenaan adalah
inisiatif kerajaan bagi membantu golongan sasar yang berpendapatan RM3,000 dan
ke bawah dengan tujuan untuk mengukuhkan lagi ekonomi mereka.
Najib berkata sejak kerajaan melancarkan inisiatif membawa balik
bakat profesional tempatan yang kini berada di luar negara menerusi Talent
Corporation Malaysia Berhad, sebanyak 1,600 individu telah pulang untuk bekerja
di negara ini bagi tempoh 2011 dan 2012.
Beliau berkata jumlah itu jauh lebih tinggi jika dibandingkan
dalam tempoh 10 tahun sebelum ini apabila hanya 1,100 bakat profesional
tempatan di luar negara yang pulang untuk bekerja di Malaysia.
0 Komen