Ops Daulat akan hanya ditamatkan apabila semua penceroboh
bersenjata di Sabah dapat ditumpaskan, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri
Hishammuddin Tun Hussein berkata pada Sabtu.
“Mereka tidak meletak senjata tanpa syarat, jadi ops ini akan
diteruskan,” katanya sambil menambah semua anggota pasukan keselamatan yang
sedang bertugas mencari mayat penceroboh bersenjata itu perlu meningkatkan
tahap keselamatan dalam apa jua tindakan yang diambil.
“Kami dengar ada orang kata ada jerangkap samar dipasang dengan
bahan letupan, jadi nasihat saya anda perlu merancang dan meningkatkan
langkah-langkah keselamatan kerana ia merupakan perkara yang perlu diberi
keutamaan,” katanya.
Hishammuddin berkata jumlah terkini penceroboh yang terbunuh ialah
53 orang, namun beliau tidak menolak kemungkinan jumlah keseluruhan mungkin
lebih daripada itu.
Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Sembrong berkata
pihaknya sedang mempertimbangkan cadangan untuk melibatkan agensi sukarela
seperti RELA bersama-sama dengan masyarakat setempat khususnya JKKK
(Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung) dalam usaha menjaga keamanan di
Sabah.
“Satu pelan akan dikeluarkan untuk menentukan bagaimana setiap
rakyat boleh membantu dalam memastikan keselamatan di negeri ini terjamin. Kami
mahu setiap orang menjadi sebahagian daripada langkah insklusif ini,” katanya
kepada pemberita di ibu pejabat polis Kepayan pada Sabtu.
Beliau berkata kerajaan akan melakukan segala yang termampu dalam usaha memastikan kejadian tembak-menembak seperti yang berlaku di Lahad Datu dan Semporna tidak berulang lagi.
“Kami tidak akan membiarkan anggota keselamatan terbunuh dan usaha
ini akan diteruskan,” katanya sambil menambah bahawa rancangan mengenai Kawasan
Keselamatan Khas yang diumumkan oleh Perdana Menteri, sedang dirangka oleh
pihaknya.
“Tindakan ini akan berkuat kuasa segera dan tidak lama lagi,
secara keseluruhannya rancangan ini meliputi lima daerah iaitu, Kudat, Tawau,
Kunak, Sandakan dan Lahad Datu,” katanya.
0 Komen