Projek Mewah Datuk Jelatek : Adakan Kerajaan Pakatan Di Selangor Utamakan Rakyat?


Projek kondominium mewah Datum Jelatek di atas bekas tapak pangsapuri kos rendah di Jalan Jelatek Datuk Keramat, dekat sini, menjadi mercu tanda persoalan dalam kalangan rakyat Selangor sejauh manakah kerajaan negeri pimpinan PKR memperjuangkan kepentingan mereka.

Akhir-akhir ini berlaku bantahan dan demonstrasi penduduk setempat, khususnya penduduk Taman Keramat mendesak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) membatalkan projek berkenaan kerana ia didakwa meminggirkan masyarakat setempat di bandar.

Selain itu, laporan polis dan tindakan undang-undang memohon injunksi mahkamah bagi membatalkan projek mega itu diambil penduduk setempat mendakwa notis pembangunan semula tapak flat PKNS itu memperdayakan penduduk Keramat, khususnya di Jalan Enggang.

Apa sebenarnya berlaku? Projek Datum Jelatek menjadi kontroversi ekoran pendedahan Badan Bertindak Datum Jelatek Januari lepas mendakwa projek disokong kerajaan Selangor pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim itu menyingkirkan penduduk setempat secara terhormat dari kawasan bandar.

Menerusi siri jelajah bantahan “Melayu Dihalau, Aqidah DiGadai”, Badan Bertindak Datum Jelatek disokong 81 badan bukan kerajaan membantah keras projek itu yang menurut mereka sebelum ini diuar-uarkan sebagai pembangunan semula untuk membina rumah mampu milik.

Alih-alih Projek Datum Jelatek di atas tapak 2.4 hektar di sebelah Stesen LRT Jelatek itu kini menumpukan kepada projek pembangunan empat blok bangunan mengandungi kondominium mewah seunit mencecah hampir sejuta ringgit, hotel, pejabat dan pusat beli-belah.

Selain Kampung Baru Kuala Lumpur, kawasan Keramat adalah penempatan Melayu kira-kira 10 kilometer dari pusat bandar raya, yang kian terhimpit dengan arus kemajuan metropolitan kawasan sekitarnya.

Kepesatan pembangunan dan kemajuan infrastruktur pengangkutan LRT melonjakkan nilai hartanah di Keramat, yang terletak di timur laut pusat Bandar Kuala Lumpur, dengan kedudukannya begitu hampir dengan kawasan “Embassy Row” serta mercu tanda Menara Kembar Petronas dan KLCC.

Jelas bahawa pembangunan Datum Jelatek yang dirancang sejak 2010 akan merubah demografi dan geopolitik kawasan berkenaan apabila terlaksana kerana ia disasarkan untuk golongan berpendapatan tinggi dan korporat.

Bagi pemaju, yang penting lokasi strategik projek Datum Jelatek dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebesar RM1.2 bilion tentunya boleh membawa keuntungan lumayan kepada syarikat.

Tetapi persoalannnya dalam kalangan bekas pemilik empat blok rumah pangsa kos rendah dan peniaga ialah pampasan antara RM250,000 dan RM300,000 sangat kecil berbanding nilai projek dan jika benar kerajaan Selangor membantu rakyat, mengapa mereka tidak diberikan unit kondominium Datum Jelatek?

Mereka juga menagih janji Abdul Khalid untuk menempatkan penduduk asal di situ.

Bagi penduduk Keramat di sekitarnya pula, mereka bimbang terhadap kesan besar pembangunan Datum Jelatek pada masa depan daripada segi jaminan penempatan penduduk kawasan berhampiran, sosio-budaya dan kesesakan lalu lintas.

Apatah lagi promosi pihak pemaju dalam risalah jualan mempromosikan Datum Jelatek daerah khusus suatu bangsa asing bawah program Malaysia Rumah Keduaku.

Dakwaan penduduk ini berdasarkan pengesahan Pengurus Besar PKNS Othman Omar dalam satu artikel Malaysian Business 1 Sept 2012, bahawa bagi menarik pelabur asing, dua blok Datum Jelatek dijual secara en bloc atau keseluruhannya kepada pelabur China dan dua lagi akan ditawarkan kepada pelabur dari Singapura dan Indonesia.

Othman yang berlatarkan korporat dilantik menerajui PKNS oleh kerajaan pakatan pembangkang Selangor dan pelantikan yang merubah hala tuju PKNS pernah menjadi isu.

Projek Datum Jelatek telah dilancarkan di Marina Bay Sands Singapura pada Oktober tahun lepas.

Pengerusi Badan Bertindak Datum Jelatek Salleh Samad berkata penjualan hartanah kepada warga asing di kawasan itu bertentangan dengan latar belakang  Keramat yang dimajukan bawah program penyusunan semula masyarakat oleh bekas menteri besar Selangor, Allahyarham Datuk Harun Idris.

Datum Jelatek menimbulkan rasa tidak senang dan perasaan dicerobohi dan dipinggir di kalangan penduduknya, katanya.

Meneliti harga seunit kondominium mewah di luar kemampuan ekonomi orang Melayu, Salleh mempertikai adakah ia merupakan agenda kerajaan PKR-DAP-PAS untuk merubah demografi Keramat menerusi pemilikan kediaman warga asing.

Dua blok kondominium mewah Datum Jelatek dikatakan telahpun dijual secara en bloc kepada warga asing manakala dua blok lagi masih dalam proses jualan dengan harga minimum kira-kira RM700,000 dan maksimum RM11.5 juta seunit.

“Berapa ramaikah daripada kita yang sanggup membeli rumah sebesar 538 kaki persegi pada harga RM700,000? …rumah pangsa kos rendah pun disyaratkan mempunyai keluasan sekurang-kurangnya 750 kaki persegi,” kata beliau.

Salleh berkata dengan harga jualan yang tinggi, kuota unit rumah untuk bumiputera tidak mungkin dapat dijual sepenuhnya.

Projek Datum Jelatek juga dilihat menyimpang jauh daripada objektif asal penubuhan PKNS pada 1964 oleh Harun, untuk membangunkan rumah mampu milik bagi rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.

PKNS, dalam agenda penjenamaan semula organisasinya dalam bidang hartanah menerusi syarikat subsidiari milik penuhnya, PKNS Holdings dan Datum Corporation International, menumpukan kepada sembilan lagi projek Datum Series di Petaling Jaya, Kelana Jaya, Shah Alam, Bangi, Sungai Buloh dan Kuala Lumpur.

Secara kebetulan atau tidak, pemilihan lokasi Datum adalah bandar orang Melayu dan kesemua projek Datum Series merupakan pembangunan semula Bandar baharu akan menumpukan kepada pembangunan hartanah mewah bertaraf antarabangsa.

Salleh sambil menegaskan penduduk Keramat bukan anti pembangunan berkata bahawa masyarakat curiga dengan kelulusan merancang pembangunan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Pemberitahuan cadangan pembangunan adalah melibatkan pembinaan 318 unit pangsapuri, 44 unit kedai mampu milik dan unit bazar dan bukannya projek pembangunan bercampur kondominim, pejabat, hotel dan pusat beli-belah, katanya.

Salleh berkata projek mewah Datum Jelatek perlu digantikan dengan projek pembangunan mampu milik bagi penduduk Keramat dan kawasan itu dikekalkan sebagai kawasan penempatan mengikut perancangan asalnya.
Tags: , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment