BN Dah Senarai Pendek 4 Calon MB Selangor..... Siapa?


Barisan Nasional (BN) Selangor sudah menyenarai pendek empat calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dijangka dilantik jawatan menteri besar jika parti berkenaan kembali meneraju pemerintahan di negeri itu.

Timbalan Pengarah Jentera BN Selangor Datuk Seri Mohd Zin Mohamed bagaimanapun enggan mendedahkan nama calon yang dimaksudkan kerana tidak mahu memberikan tekanan terhadap calon itu.

“Calon yang dipilih itu memenuhi kriteria ditetapkan BN Pusat iaitu mempunyai daya saing tinggi, berpengalaman memimpin dalam organisasi selain mempunyai hubungan baik dengan masyarakat setempat. Calon yang dipilih untuk merebut kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor membabitkan mereka yang mempunyai latar belakang pendidikan baik selain calon yang disukai rakyat setempat.

"Saya boleh sahkan ada empat nama yang sudah disenarai pendek sebagai calon menteri besar, tetapi tidak boleh dedahkan kerana ia mungkin akan menjadi tekanan kepada calon itu nanti.

"Senarai calon ADUN yang akan bertanding dalam PRU-13 ini sudah diberikan. Jadi biarkan ia menjadi persoalan di kalangan anda (wartawan) sehingga selesai pilihan raya," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pengumuman dan Penyerahan Watikah Calon BN Selangor, di sini, pagi tadi.

Pada majlis itu, watikah pelantikan 22 calon Parlimen dan 56 calon DUN bagi BN Selangor diserahkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga Pengerusi BN Selangor.

Sebelum ini, khabar angin mengaitkan Mohd Zin atau Timbalan Pengerusi BN Selangor Datuk Seri Noh Omar bakal mengisi jawatan tertinggi kerajaan negeri itu, tetapi persoalan terjawab apabila masing-masing diumumkan sebagai calon bagi merebut kerusi Parlimen Sepang dan Tanjung Karang.

Mohd Zin mengakui senarai calon yang dipilih itu bukan dibuat dalam tempoh singkat kerana pemerhatian dan penilaian dibuat untuk tempoh lama bagi memastikan hanya calon yang benar-benar layak saja dipilih.

"Ini masa rakyat Selangor untuk membuat pemilihan tepat dan jangan biarkan apa yang berlaku pada 2008 berulang kembali dan inilah masa untuk rakyat Selangor mengembalikan pentadbiran kerajaan negeri kepada BN," katanya.

Pada pilihan raya kali ini, Selangor dilihat membariskan calon lama dan baru, malah ada beberapa calon yang tampil kali ini adalah mereka yang pernah membawa kemenangan kepada BN, tetapi tidak dicalonkan dalam Pilihan Raya Umum ke-12 lalu dan kini mewarnai semula senarai BN Selangor.

Mereka membabitkan calon Parlimen dan DUN termasuk Datuk Yap Pian Hon (Serdang), Dr Rozaida Talib (Ampang), Datuk Dr Raman Ismail (Gombak), Loh Seng Kok (Kelana Jaya ), manakala DUN ialah Datuk Abdul Wahab Ibrahim (Taman Medan ) dan Lim Choon Kin (Damansara Utama).

Kehadiran mereka dilihat mampu mengembalikan kegemilangan BN terutama selepas didapati terus menabur khidmat kepada parti dan rakyat walaupun tidak tersenarai bagi kerusi DUN atau Parlimen.
Tags: , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

1 Komen

  1. Alahai... Kerja kuat dulu, rapatkan saf perjuangan, buang sifat-sifat buruk ketepi, jangan sabotaj calon, berjuang dulu, pastikan kemenangan, In Sha Allah keberkatan pasti ada

Post a Comment