Najib Ziarah Keluarga Allahyarham ACP Ibrahim Lebar



Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menziarahi keluarga Allahyarham ACP Ibrahim Lebar yang terkorban dalam Operasi Daulat di kediaman mereka di Subang Jaya, dekat sini.

Najib yang tiba pada pukul 4.10 petang itu meluangkan masa kira-kira 45 minit untuk bertanya khabar balu serta anak-anak Allahyarham Ibrahim.

Beliau turut menyampaikan bantuan berjumlah RM20,000 sumbangan Yayasan Kelana Ehsan kepada balu Allahyarham bagi meringankan beban mereka.

Turut hadir pada lawatan itu ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dan Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah.

Balu Allahyarham, Rosiah Dahlan, 52, berkata beliau amat terharu apabila Najib sanggup menziarahi mereka sekeluarga biarpun sibuk dengan pelbagai urusan tatkala bahang pilihan raya umum ke-13 semakin hampir.

"Saya sangat berterima kasih kepada kerajaan dan Polis Diraja Malaysia kerana memberi sokongan padu kepada keluarga kami sejak kehilangan tempat bergantung malah perdana menteri turut memberikan kata-kata semangat kepada saya dan anak-anak," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Allahyarham ACP Ibrahim Lebar merupakan antara anggota polis yang terbunuh dalam kejadian serangan hendap oleh sekumpulan pengganas selatan Filipina di Kampung Sri Jaya, Simunul, Semporna, Sabah pada 2 Mac lalu.
Tags: , , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment