Timbalan Perdana Menteri hari ini melabelkan Parti PAS sebagai
Parti Ajaran Sesat berikutan kenyataan kontroversi Mursyidul Am PAS Datuk Nik
Abdul Aziz Nik Mat, yang disifatkannya sebagai fatwa songsang yang boleh
mengelirukan rakyat.
Menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin beliau agak kecewa dengan
kenyataan songsang itu kerana Nik Abdul Aziz merupakan seorang ulama dan tokoh
agama.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan terbaharu Nik
Abdul Aziz yang mendakwa solat orang Umno tidak memberi sebarang pahala kerana
parti itu telah menolak dasar Islam.
Muhyiddin berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan
tinjauan turun padang ke kawasan Lembah Pantai dan bersarapan pagi di Gerai
Singgah Santai, Kondo Rakyat Desa Pantai di sini.
"Nik Aziz bersifat macam Tuhan sedangkan dia kata dia tokoh
agama. Dia mengeluarkan fatwa sebegitu menghukum bahawa sembahyang orang Umno
tidak dapat pahala kerana katanya Umno menolak Islam, Umno tidak berjuang untuk
Islam.
"Ini bukan kali pertama, Pas dan Nik Abdul keluarkan fatwa
menghukum Umno. Umno sebagai kafir di dalam Amanat Haji Hadi. Ini sudah
terbukti bahawa Pas ialah Parti Ajaran Sesat, dan bukannya Parti Islam
SeMalaysia," katanya.
Justeru itu, Muhyiddin turut menyeru rakyat agar menolak Pas dan
pemimpinnya agar tidak sesat dengan ajaran songsang parti itu.
"Kalau ikut ajaran Pas sebegitu, maka semua akan sesat.
Lebih-lebih lagi Nik Aziz menggunakan agama untuk tujuan politik lagi menyesatkan.
"Satu peringatan agar kita menolak Pas dan pemimpin Pas, dan
Umno adalah parti yang berjuang untuk Islam sudah lama. Kalau saya nak
ceritakan mungkin pemberita tidak ada muka surat untuk tulis," katanya.
Katanya, dari awal lagi, sejarah Umno menunjukkan perjuangan parti
itu untuk menebus kemerdekaan negara, menggubal perlembagaan meletakkan Islam
sebagai agama persekutuan, pembelaan umat Islam, maka jelas terbukti Umno ialah
parti yang memperjuangkan Islam sejak dahulu sampai hari ini.
0 Komen