Pertandingan bagi merebut kerusi parlimen Putrajaya menyaksikan
pertembungan satu lawan satu antara penyandang, Setiausaha Agung Barisan
Nasional Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, dicabar Naib Presiden PAS Datuk
Husam Musa.
Pengumuman dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Muhammad
Haitamin Ishak di Kompleks Kejiranan Presint 9 selepas tempoh penerimaan borang
penamaan calon tamat pada pukul 10 pagi.
Kawasan Parlimen Putrajaya seluas 4,931 hektar itu diwakili Tengku
Adnan sejak 2004 selepas kawasan itu diwartakan sebagai Wilayah Persekutuan
pada 2001, dan pada pilihan raya umum 2008, beliau memenanginya dengan majoriti
2,734 undi, mengalahkan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Mohamad Noor
Mohamad.
Husam pula selain bertanding di kawasan Parlimen Putrajaya, juga
akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Salor, Kelantan pada
pilihan raya ini.
Kedua-dua kumpulan tiba di Kompleks Kejiranan itu pada masa yang
sama kira-kira setengah jam sebelum pusat penamaan calon dibuka pada pukul 9
pagi, dengan masing-masing diiringi kira-kira 1,500 penyokong, menyanyikan
lagu-lagu patriotik dan juga takbir.
Berbaju Melayu biru, Tengku Adnan memasuki kawasan dewan sejurus
selepas ia dibuka, manakala Husam yang berbaju Melayu hijau, tiba kira-kira 15
minit kemudian.
Tengku Adnan yang ditemui sejurus selepas pegawai pengurus pilihan
raya mengumumkan senarai yang bertanding berkata, berdasarkan rekod cemerlang
kerja-kerja yang dilakukan Barisan Nasional (BN) di Putrajaya, beliau yakin
orang ramai akan kembali memberi kepercayaan kepadanya untuk menyambung tugas
sebagai Anggota Parlimen kawasan itu.
Husam pula berkata beliau akan menggunakan media internet sebagai
alat menyampaikan mesej kepada pengundi semasa berkempen, kerana menurutnya
rata-rata penduduk Putrajaya mempunyai akses internet.
0 Komen