Kewibawaan calon Barisan Nasional (BN) Tengku Zaihan Che Ku Abd
Rahman sebagai jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) terbukti dalam
kejadian banjir besar di Kota Tinggi, Johor tujuh tahun lalu.
Perkara itu dikongsi Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar,
Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Halimah Mohd Sadique yang juga Anggota
Parlimen Tenggara yang terletak bersebelahan Kota Tinggi, Johor.
“Saya mula mengenali Tengku Zaihan semasa beliau menjadi jurutera
JPS dan semasa banjir besar di Kota Tinggi antara 19 Disember 2006 hingga awal
Januari 2007, beliau adalah orang yang banyak membantu kami.
“Kami sentiasa mendapatkan pandangan beliau apakah tindakan yang
perlu dilakukan, sama ada perlu kami memindahkan penduduk ke tempat selamat,
adakah amaran awal perlu dikeluarkan dan lain-lain tindakan yang perlu
dilakukan untuk keselamatan penduduk” katanya semasa berucap pada Program
Kesedaran Awam Bersama Komuniti di Dataran Pasar Tani di sini, hari ini.
Banjir di Kota Tinggi dianggap paling besar dalam sejarahnya dan
berlaku dalam dua peringkat, iaitu gelombang pertama pada 19 Dis 2006 diikuti
gelombang kedua pada 11 Jani 2007 dan menenggelamkan hampir semua bandar Kota
Tinggi.
Banjir itu terjadi ekoran angin monsun Timur Laut yang bertiup
dari bulan Oktober hingga Mac menyebabkan hujan lebat telah melanda seluruh
Johor selama hampir seminggu sehingga Sungai Johor tidak mampu lagi
menampungnya dan semasa itu, hampir 12,000 orang dipindahkan ke pusat
pemindahan banjir.
Justeru itu, Halimah mengingatkan penduduk Kuala Besut untuk
membuat pilihan tepat pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala
Besut dengan memilih calon yang berpengetahuan luas, boleh meneruskan
pembangunan dan membawa agenda untuk meningkatkan ekonomi penduduk.
Pada pilihan raya kecil itu, Tengku Zaihan atau lebih dikenali
sebagai ‘Abe Ku’ di kalangan penduduk Kuala Besut dicabar calon PAS Endot@Azlan
Yusof, seorang ahli perniagaan.
Pilihan raya kecil itu diadakan ekoran kematian penyandangnya Dr A
Rahman Mokhtar pada 26 Jun lalu akibat kanser paru-paru.
0 Komen