Naib Pengerusi DAP cawangan Ladang Paroi, Seremban, A. David Dass
mendakwa telah memfailkan permohonan injunksi bagi menghalang pemilihan khas
Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu yang akan diadakan pada 29
September ini.
Dass dalam sidang akhbar di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan
Duta di sini hari ini memberitahu, beliau telah memfailkan permohonan injunksi
terbabit selepas menerima notis berhubung pemilihan khas tersebut.
Permohonan injunksi itu dikemukakan atas alasan pemilihan khas
tersebut adalah bertentangan dengan perlembagaan parti berkenaan.
Bagaimanapun sehingga petang ini, pihak media tidak diberikan
salinan dokumen permohonan terbabit.
Dass yang hadir dengan dua lagi individu dipercayai penyokongnya
turut menuntut agar pada tarikh tersebut satu mesyuarat kongres diadakan dan
bukannya pemilihan CEC.
Menurut laporan akhbar sebelum ini, Pengerusi DAP, Karpal Singh
membayangkan bahawa pemilihan semua jawatankuasa itu akan diadakan awal
November ini.
Karpal dalam kenyataannya menyatakan mereka yang akan mengundi
pada pemilihan semula itu terdiri daripada perwakilan mengikut senarai 2008
kerana delegasi 2012 pada Disember lalu dikatakan tidak sah.
Pada 14 Ogos lalu, Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu mengumumkan DAP
akan mengadakan semula CEC seperti yang diarahkan oleh Pendaftar Pertubuhan
(ROS) setelah siasatan mendapati pemegang-pemegang jawatan dalam pemilihan
Disember lalu tidak sah.
Isu kepincangan keputusan pemilihan CEC bermula pada 4 Januari
lalu apabila Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng secara tiba-tiba mendedahkan
terdapat 'kesilapan teknikal' sewaktu penjumlahan undi iaitu 19 hari selepas
keputusan diumumkan.
Selepas kesilapan diperbetulkan, keputusan berubah apabila
Setiausaha Politik Guan Eng, Zairil Khir Johari yang tewas pada mulanya setelah
menduduki tempat ke-39 dengan menerima 305 undi, melonjak ke tempat ke-20
dengan undian sebanyak 806, sekali gus menjadi calon Melayu tunggal yang
terpilih dalam senarai CEC. - Utusan
0 Komen