Calon Muka Baru Rayu Syarat Berkempen Dilonggarkan


Beberapa calon ahli Majlis Tertinggi (MT) dan exco sayap UMNO menyambut baik sekiranya jawatankuasa pemilihan parti itu melonggarkan syarat pemilihan terutama memberi peluang kepada mereka bertemu dengan perwakilan secara terus.

Mereka yang masih tidak 'dikenali' kerana tidak mempunyai jawatan dalam parti serta kerajaan turut menyifatkan ia amat penting untuk berkongsi matlamat dan memberi peluang kepada akar umbi menilai setiap calon yang bertanding.

Calon Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Azman Shah berkata, calon-calon baru seperti beliau tidak mempunyai platform untuk digunakan bagi bertemu dengan perwakilan sepertimana pemimpin yang mempunyai jawatan dalam kerajaan atau badan-badan tertentu.

Beliau yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang berkata, majlis pengenalan calon-calon yang bertanding dalam pemilihan yang dianjurkan tidak memadai dan terlalu padat untuk mereka mengikuti kesemuanya.

"Saya rasa ini amat perlu dan wajib dilonggarkan kerana kalau kita lihat pemimpin atasan mereka mempunyai jentera dan badan tertentu atau kementerian untuk dijadikan kenderaan untuk mereka 'tunggang'.

"Orang baru macam kita tetapi lama dalam UMNO tetapi tidak mempunyai platform untuk perkenalkan diri, majlis pengenalan calon seperti hari ini macam pertandingan ratu cantik, hanya boleh angkat tangan dan tidak boleh bercakap," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Pengenalan Calon-Calon Ahli MT dan Exco Pergerakan Sayap UMNO 2013 - 2016 di Bangunan UMNO Kelantan di sini semalam.

Bagi calon baru Pergerakan Sayap Pemuda UMNO, Muqgarabin Mokhtar berkata, majlis pengenalan calon yang dibuat oleh pihak Ibi Pejabat UMNO Malaysia dan secara bersendiri akan dapat beri peluang kepada calon baru dan lama supaya kami mudah bertemu dengan perwakilan 

“Kami sebagai calon bertanggungjawab untuk melaksanakan kempen dengan baik, namun kami juga akan bertanggungjawab apabila syarat berkempen ini dilonggar agar tidak disalah guna.

Cara pengenalan calon agak baik untuk perkenal diri pada masa yang sama kami kena turun padang, saya nak turun padang bukan saja nak jumpa ketua pemuda tetapi para perwakilan seluruh Negara,” ujarnya.

Sementara itu, calon Exco Pergerakan  Wanita UMNO Malaysia, Marzita Mansor yang pertama kali menawarkan diri untuk bertanding jawatan tersebut berkata, tanpa bertemu perwakilan agak mustahil bagi mereka untuk meyakinkan golongan akar umbi itu.

"Saya amat bersetuju dengan kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin  kerana ianya adalah satu peluang kepada calon untuk berkenalan dengan perwakilan.

"Ini sebenarnya satu proses demokrasi yang berlaku dalam negara dan UMNO sendiri, tanpa bertemu perwakilan agak mustahil perwakilan dapat mengetahui misi dan visi yang dibawa oleh calon, saya berpendapat syarat tersebut patut dilonggarkan," ujarnya yang juga bekas Ketua Puteri UMNO dan Setiausaha Wanita UMNO Negeri Perlis .
Tags: , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment