UMNO Selangor Setuju Pandangan Harun Taib - "Jangan Tunduk Pihak Cuba Ganggu Islam"

 
UMNO Selangor hari ini bersetuju dengan kenyataan Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Harun Taib bahawa Pakatan Rakyat bersatu dalam satu pakatan hanya berkaitan politik tetapi tidak dalam urusan agama. Justeru rakyat perlu melihat perkara ini dengan lebih jelas kerana apa jua yang diperjuangkan di dalam politik kita mesti mempertahankan juga agama.

Pengerusinya, Datuk Seri Noh Omar berkata, UMNO Selangor melihat DAP Selangor sudah mula besar kepala apabila memberi cadangan untuk mengubah Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988. Mereka melihat isu ini boleh menguntungkan mereka dari segi politik tanpa memikirkan impikasi daripada cadangan mereka itu. 

"DAP tidak merasa malu untuk mendesak pindaan tersebut kerana mereka memperjuangkan kepentingan agama bukan Islam di Selangor dan merasakan PR mempunyai suara majoriti di dalam dewan negeri. Namun demikian jika 37 orang Adun-Adun Melayu di Selangor (BN-12, PAS-15 dan PKR-10) bersatu seperti kenyataan Datuk Harun Taib untuk mempertahankan kepentingan agama Islam, cadangan yang dibuat oleh DAP tidak akan dapat dilaksanakan.

UMNO Selangor melihat usaha yang dilakukan oleh DAP campur tangan dalam hal ehwal agama Islam merupakan satu petunjuk jelas bagaimana mereka cuba menghapuskan penguasaan agama Islam di Selangor secara praktikal," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang.

Tambahnya, UMNO Selangor kesal dengan kenyataan Exco Agama Selangor YB Salehen Mukhyi untuk mengadakan perjumpaan dengan Paderi Lawrence Andrew kerana sebagai seorang Exco Agama beliau perlu tegas dan mematuhi titah perintah DYMM Sultan Selangor dan mempertahankan tindakan yang dilakukan oleh JAIS.

Soal siapa yang bersalah biar mahkamah yang menentukan. Kenyataan beliau menunjukkan seolah-olah beliau tidak memahami erti kebebasan beragama seperti yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan. Rakyat perlu faham Perkara 11 dalam Perlembagaan menyebut bahawa tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan agamanya tetapi tertakluk kepada Perkara 11 (4) yang memberi kuasa kepada kerajaan negeri untuk menggubal undang-undang bagi mengawal atau menyekat penganut agama bukan Islam menyebarkan atau mengembangkan ajaran atau kepercayaan mereka kepada orang-orang Islam.

"Enakmen Agama Bukan Islam ( Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) yang diwartakan pada tahun 1988 diwujudkan sebagai kesinambungan daripada Perkara 11 (4) dan memberi kuasa kepada pegawai-pegawai yang ditauliahkan untuk menyiasat dan menangkap tanpa waran mana-mana individu yang melanggar peruntukan di dalam enakmen tersebut.

Paderi Lawrence Andrew  sebagai seorang Paderi dan Pengarang The Herald, beliau harus sensitif dan faham undang-undang beragama di Selangor. Jangan menggunakan alasan tidak memahami undang-undang sebagai satu alasan untuk melanggar undang-undang. Beliau seharusnya mematuhi titah perintah DYMM Sultan Selangor dan isu kalimah Allah juga telah menjadi kes di mahkamah.

Sehubungan dengan itu, UMNO Selangor akan terus memantau perkembangan isu ini dan mahu pihak berkuasa jangan sekali-kali tunduk terhadap desakan pihak tertentu yang cuba mengganggu-gugat kedudukan Islam di negeri Selangor," tambahnya.


Tags: , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

1 Komen

  1. UMNO boleh percaya ke pd Harun Taib?
    Munafik PAS ramai.. siang ckp lain malam ckp lain.

    Klu dulu dgm UMNO bkn main mcm dh boleh tumpah darah.. tp skrg kafgir terang2 hina dan gugat Islam kenapa Harun Taib tk isytihar Tahaluf ISasi PAS DAP ttu HARAM dan BUBAR??

    Bodoh la Harun Taib tu nk berlakon2 MUNAFIK.. UMNO jgn percaylah dgn PAS.. mereka ni sama jahat dgn kafir

Post a Comment