Apa `Dosa’ Khalid Hingga Anwar Nak Gantikannya Sebagai Menteri Besar Selangor?


Jentera Barisan Nasional di DUN Kajang sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil DUN Kajang, 23 Mac ini namun dalam masa yang sama, menantikan keputusan pucuk pimpinan BN samaada untuk bertanding ataupun tidak.

Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan menegaskan, secara peribadi beliau menggesa agar BN membuat keputusan untuk bertanding dan tidak memberikan kemenangan percuma kepada Anwar Ibrahim yang dikatakan akan mewakili PKR untuk bertanding di Kajang.

“Jelas apa yang berlaku sehingga terjadinya pilihanraya kecil ini adalah untuk menyelesaikan masalah dalaman mereka. Masalah dalaman dalam kepimpinan Menteri Besar dan satu lagi lagi masalah peribadi Anwar Ibrahim.

Di Kajang ini akan ada dua pentas, pentas di khalayak, Anwar akan memberitahu itu adalah langkah strategik untuk tawan Putrajaya tetapi pentas sebenar ialah PRK ini dijadikan perisai dalam kes peribadinya (Anwar Ibrahim) untuk menjadikan dirinya seakan kebal kalau dia jadi Menteri Besar misalnya,” ujarnya yang juga Ketua Biro Penerangan dan Publisiti Barisan Nasional.

Tambahnya, dalam masa yang sama, Tan Sri Khalid Ibrahim tidak akan mudah menyerahkan jawatannya sebagai Menteri Besar dengan mudah.

“Apa dosa dia (Khalid Ibrahim) sehingga dia kena letak jawatan dan dalam masa yang sama, parti PAS sendiri mempunyai wakil yang lebih banyak daripada PKR. PAS dan DAP masing-masing ada 15 orang wakil manakala PKR hanya ada 14 wakil mereka manakala BN ada 12 wakil dalam DUN Selangor.

Jadi, mengapa selepas PKR, perlu PKR lagi. PAS pun nak merasa untuk menjadi Menteri Besar. Ini juga menjadi satu isu dalam kumpulan mereka. Banyak yang tidak selesai namun kita nampak pembangkang ini ada kehebatan untuk menutup kelemahan-kelemahan, padahal mereka tidak sesempurna mana,” tambahnya.  

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya kecil DUN Kajang diadakan pada 23 Mac, dan penamaan calon 11 Mac.


Kerusi DUN Kajang kosong berikutan peletakan jawatan secara mengejut wakil rakyat PKR Lee Chin Cheh pada 27 Jan.
Tags: , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment