Pergerakan Puteri UMNO Malaysia menyifatkan
perjuangan 'Kajang Move' yang dibuat oleh pihak Pakatan khususnya PKR pada kempen
Pilihan Raya Kecil DUN Kajang baru-baru ini sebagai satu perkara yang sia-sia.
Ketuanya, Mas Ermieyati Samsuddin berkata, 'Kajang Move' hanya
menjadi medan untuk puak-puak pakatan ini mendabik dada selain mengukur
populariti mereka semata-mata selain menyimpangkan perhatian rakyat terhadap
kes Liwat yang dihadapi oleh pemimpin utama mereka, Anwar Ibrahim.
"Sejak bekas ADUN melepaskan jawatan, pihak PKR mula
berkempen siang dan malam, habis semua rumah ibadat menjadi sasaran
pemimpin-pemimpin mereka, malah Anwar Ibrahim juga telah diumumkan sebagai calon
untuk mewakili PKR pada PRK tersebut.
Bukan itu sahaja, suara-suara sumbang juga jelas kedengaran
menuduh Suruhanjaya Pilihanraya tidak telus, malah yang lebih hebat, ada
pemimpin muda mereka yang berselindung di sebalik nama NGO garang menuduh BN akan
menggunakan pengundi hantu warga Myanmar untuk mengundi calon BN pada PRK
tersebut," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah.
Tetapi apa yang menarik, apabila mereka menang, semua dakwaan yang
mereka buat termasuk pengundi hantu ini senyap.
"Saya yakin, kalaulah pemimpin utama mereka iaitu Wan Azizah
yang juga merupakan isteri Anwar Ibrahim kalah pada 23 Mac lalu, suara-suara
ini akan jelas kedengaran bukan sahaja di dalam negara, malah akan keluar
dicanangkan sampai ke luar negara bahawa sistem pilihanraya Malaysia yang
dikendalikan SPR tidak telus, tidak adil dan menipu, malah wujud pengundi hantu
yang membantu memenangkan calon BN.
hakikatnya, permainan kotor parti pakatan ini menjadikan rakyat
khususnya pengundi di DUN Kajang yang tidak berdosa sebagai mangsanya,"
tambahnya.
Dalam masa yang sama, Pergerakan Puteri UMNO turut menyarankan
kepada pihak pemimpin Pakatan Pembangkang untuk membaca semula penghakiman yang
telah dibuat oleh hakim sebelum mereka dengan sewenang-wenangnya menuduh pihak
Mahkamah sebagai proUMNO dalam kes liwat yang dihadapi Anwar Ibrahim.
"Saya tidak faham dari aspek mana yang dikatakan kes ini
tidak adil kerana mahkamah telah membuat penghakiman berdasarkan bukti yang
sahih dan saksi-saksi yang tidak meragukan.
Bagi saya, tiada apa yang hendak dihairankan dengan tuduhan pemimpin
pakatan ini kerana jika mereka kalah, kerajaanlah yang tidak adil, tetapi kalau
mereka menang, itu tandanya mereka betul dan kerajaan juga yang salah,"
tambahnya.



0 Komen
Post a Comment