MH 370: Masih Tiada Penunjuk Ditemui - DSHH


Operasi mencari yang dilakukan bagi mengesan kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang memasuki hari ketiga hari ini, masih gagal mengesan sebarang penunjuk.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata usaha itu bagaimanapun akan terus diperhebat dengan memperluaskan kawasan carian selain penglibatan pelbagai pihak termasuk nelayan.

"Saya mahu nyatakan di sini bahawa kawasan yang kita mahu cari pesawat terbabit merupakan kawasan yang cukup luas dan ini menginsafkan saya kerana memang sukar untuk mengesan.

"Tetapi kita tidak akan putus asa dan saya gembira kerana ramai yang tampil untuk membantu dengan yang terbaharu dari negara Brunei yang turut menyertai usaha pencarian," katanya dalam sidang media selepas melawat Pusat Kawalan Trafik Udara, Jabatan Penerbangan Awam di Subang hari ini.

Katanya sehingga kini jumlah aset yang dikerahkan untuk operasi itu meningkat kepada 42 kapal dan 35 pesawat yang merangkumi pencarian di kawasan perairan Laut China Selatan dan Selat Melaka.

Katanya pada masa ini sebanyak 16 buah kapal dan 14 pesawat sedang melaksanakan operasi mencari pesawat MH370 itu di Selat Melaka, sementara di Laut China Selatan membabitkan 26 buah kapal dan 21 pesawat.

Dalam pada itu Hishammuddin turut mengalu-alukan penyertaan pihak lain seperti nelayan yang dikatakan mampu menjadi mata dan telinga bagi mencari atau mengesan sebarang penunjuk mengenai pesawat MH370.

"Tadi sewaktu saya meninjau operasi pencarian di Selat Melaka dengan menaiki pesawat, saya dapati banyak kapal-kapal nelayan beroperasi di sana dan saya yakin mereka boleh membantu," katanya.

Beliau berkata dengan penyertaan pelbagai pihak diharapkan akan dapat mengesan penunjuk yang boleh membawa kepada perkembangan yang lebih bermakna terhadap operasi mencari pesawat itu.

Pada Sabtu lepas, pesawat MAS penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing bersama 227 penumpang (termasuk dua bayi) dan 12 anak kapal itu hilang dari imbasan radar pada 1.30 pagi, kira-kira sejam setelah berlepas dari KLIA.


Pesawat itu membawa penumpang terdiri daripada warga 14 negara dengan lebih separuh merupakan warga China dan 38 rakyat Malaysia.
Tags: , , , , , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment