UMNO Johor Lancar Pelan Masa Depan – Khaled Norden


KLUANG, 8 Ogos — UMNO Johor akan melancarkan Pelan Masa Depan UMNO yang bakal menggariskan 11 agenda besar parti itu dalam ikhtiar memodenkan parti untuk tempoh 10 tahun akan datang.

Mengumumkan demikian Menteri Besar Johor yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata agenda tersebut bertujuan memulihkan keyakinan rakyat terhadap parti.
Katanya, UMNO Johor juga akan menubuhkan Sekolah Politik dan Kepimpinan UMNO.
Ini bertujuan menyediakan pemimpin terbaik bangsa serta menjamin kelangsungan parti pada masa hadapan, kata beliau.
Beliau berkata pergerakan ke arah usaha pengislahan UMNO sudah bermula di Johor dan semakin rancak dijalankan sejak Konvensyen Umno tahun lepas termasuk menubuhkan rumah penyelidikan dan institut pemikir khusus untuk UMNO Johor, Bait Al Amanah.
Mohamed Khaled berucap merasmikan mesyuarat UMNO Bahagian Sembrong di sini hari ini.
Turut hadir Naib Presiden UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Johor Md Jais Sarday.
Menyentuh perkembangan semasa dalam UMNO, beliau berkata parti itu perlu menyelesaikan segala kemelutnya segera bagi mengembalikan keyakinan akar umbi dan memastikan kewibaan parti itu untuk terus kekal relevan.
Katanya, UMNO tidak boleh menunggu lama dalam menyelesaikan kemelut kerana ia bukan persoalan enteng malah berkisar tentang kelangsungan perjuangan Melayu dan Islam.
“Tiada pelan B untuk UMNO kecuali kembali bersatu semua hati-hati kita untuk mempertingkat segala usaha dan ikhtiar untuk kita mendesak kepimpinan parti menyatakan dengan jelas ke hadapan untuk UMNO.
“Semakin kita biarkan, semakin membarah segala masalah tersebut dalam UMNO,” katanya.
Mohamed Khaled, yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang itu berkata UMNO harus berlaku benar dan mengakui bahawa parti yang ditunjangi orang Melayu itu ketika kini tidak berada dalam kedudukan yang sebaiknya.
Beliau berkata, sehubungan dengan itu, UMNO Johor turut menyandarkan harapan kepada Hishammuddin untuk memainkan peranan bagi memimpin parti, bangsa dan negara ini atas pengalaman Menteri Pertahanan itu di dalam UMNO selama ini.
Menurut Mohamed Khaled, keperibadian yang ada pada Hishammuddin diyakini dapat membawa perubahan parti dan meneruskan legasi asas perjuangan UMNO.
“Saya dan UMNO Johor akan terus menyokong Datuk Seri (Hishammuddin) dalam melakukan perkara yang benar untuk UMNO,” kata beliau.
Tags: , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment