Niat Suarakan Pandangan Mestilah Untuk Memperkukuhkan UMNO - Mukhriz


ALOR SETAR, 8 Ogos -- Anggota UMNO yang mahu menyuarakan sesuatu pandangan tentang parti mestilah mempunyai niat yang betul untuk memperkukuhkan parti dan bukan bertujuan memecah belah atau mengadu-domba sesama anggota, kata Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Menurut Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah berkeyakinan dengan niat yang betul tindakan anggota menyuarakan sesuatu tentang UMNO itu tidak akan menjejaskan kestabilan dalaman parti itu.

"Niat mereka mesti betul iaitu tidak lain dan tidak bukan untuk memperkukuhkan parti dan bukan bertujuan dengan sengaja untuk melemahkan dan memecah belahkan parti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat
perwakilan UMNO Bahagian Kuala Kedah hari ini. 

Katanya, anggota UMNO perlu menggunakan kesempatan daripada mesyuarat perwakilan yang sedang berlangsung ini untuk mengemukakan pandangan tentang pelbagai isu terkini berkenaan parti.

Menurut Mukhriz, suara dan pandangan daripada anggota parti yang melontarkan pendapat mereka pada mesyuarat perwakilan ini akan disampaikan kepada pucuk pimpinan teratas parti supaya ianya diambil kira.

Suara-suara dan pandangan anggota biasa parti itu katanya, adalah amat penting supaya pucuk pimpinan di setiap peringkat UMNO dapat memperbaiki segala kekurangan yang ada sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) kelak.

"Kita tidak boleh membiarkan sesuatu yang melemahkan parti sehinggalah kepada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti, kerana apabila sudah tiba pada masanya itu (PRU-14), ia diibaratkan seperti 'nasi sudah menjadi bubur'," katanya. 

Adalah amat rugi kata beliau, sekiranya UMNO yang memiliki lebih daripada tiga juta keahlian itu tidak membenarkan anggotanya menyuarakan pendapat dan pandangan tentang parti itu sendiri. 

Pendapat anggota parti biasa itu katanya, penting kerana mereka mewakili golongan akar umbi dan rakyat setempat yang mempunyai kefahaman tentang isu-isu mendesak di kawasan mereka.

"Selain itu, anggota-anggota biasa parti juga sangat memahami isu-isu negara dan nasional," katanya dan menambah, pucuk pimpinan parti perlu mengambil peluang mesyuarat perwakilan ini untuk mendengar "suara hati" anggota UMNO.

Mukhriz juga berkata, anggota UMNO negeri ini perlu melipat gandakan usaha untuk memastikan Kedah kekal di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN) pada PRU-14.
Tags: , , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment