UMNO Pulau Pinang Saman Lim Guan Eng

Pulau Pinang, 13 September: Sudah hampir 3 tahun 6 bulan, Lim Guan Eng memegang jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang bermula Mac 2008, dan sehingga kini beliau nampaknya jelas telah gagal untuk menyesuaikan dirinya untuk bertindak laku sebagai seorang ketua kerajaan negeri yang kredibel dan bermaruah. Beliau masih terbelengu dan terperangkap dengan sikap seorang ahli politik pembangkang walau pun sudah 3 tahun lebih menerajui sebuah kerajaan negeri.

Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, sepanjang tempoh tersebut Lim Guan Eng begitu cenderung untuk membuat kenyataan-kenyataan atau sidang-sidang akhbar untuk terus menerus menghentam kerajaan Persekutuan yang diterajui oleh BN dan UMNO daripada menumpukan kepada tugasannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.

Pada awal Julai lalu, beliau telah menuduh UMNO terlibat secara langsung dengan demonstrasi aman yang berlaku di KOMTAR dan di atas Jambatan Pulau Pinang pada 1 Julai. Beliau telah sewenang-wenangnya menuduh UMNO terlibat langsung dengan demonstrasi berkenaan atas alasan beberapa ahli UMNO juga turut terlibat dalam demonstrasi tersebut.

“Saya selaku Ketua Perhubungan UMNO Pulau Pinang telah mengambil tanggung jawab untuk menafikan sekeras-kerasnya bahawa UMNO secara langsung atau tidak langsung terlibat dengan demonstrasi berkenaan. Saya juga menjelaskan bahawa saya telah dimaklumkan demostrasi berkenaan sebenarnya telah dianjurkan oleh beberapa NGO yang tidak berpuas hati dengan pentabdiran Lim Guan Eng dan kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Lim Guan Eng telah menolak penjelasan dan penafian saya dengan menuduh saya telah berbohong atau menipu mengenai penglibatan UMNO dalam demonstrasi berkenaan atas alasan penahanan YB Senator Ezam Mohamad Nor dan beberapa individu lain yang ada kaitan dengan UMNO

Saya telah turut menjelaskan bahawa UMNO tidak boleh dipertanggungjawabkan ke atas setiap perbuatan dan tindakan yang dilakukan oleh setiap individu ahlinya. UMNO sebagai sebuah parti politik yang dianggotai oleh seramai 3._ juta ahli, sudah tentu tidak akan dapat mengawal setiap perbuatan dan tindakan individu yang menggotai nya,” ujarnya dalam satu kenyataan media sebentar tadi.

Ujarnya, Lim Guan Eng terus enggan untuk menerima penjelasan yang diberikan dan beliau terus menerus mengaitkan UMNO dengan demonstrasi berkenaan dalam ucapan-ucapannya selepas itu.

Pada awal pagi 17/18 Ogos 2011, telah berlaku kejadian percubaan membakar Pejabat DAP Pulau Pinang di Jalan Talipon. Sekali lagi Lim Guan Eng tanpa sebarang bukti nyata telah menuduh UMNO terlibat langsung dengan perbuatan jenayah berkenaan, walaupun kes itu baru dimulakan siasatan oleh pihak Polis Di Raja Malaysia dan lain-lain pihak berwajib.

Lim Guan Eng secara terang telah menuduh UMNO menjadi penyebab dan punca berlakunya kejadian tersebut kerana tindakan beberapa pihak dari UMNO dan media yang dikaitkan dengan UMNO mempersoalkan pekeliling arahan larangan penggunaan pembesar suara untuk menyiarkan bacaan Al-Quran sebelum Azan Subuh kepada surau-surau dan masjid-masjid oleh Jabatan Agama Islam Pulau Pinang. Lim Guan Eng telah menuduh UMNO cuba untuk menimbulkan perselisihan dan ketegangan antara kaum apabila mempersoalkan arahan yang dikeluarkan oleh JAIPP tersebut.

“Pada pandangan saya, Lim Guan Eng sendiri yang sebenarnya cuba untuk menimbulkan ketegangan antara kaum dengan melemparkan tuduhan demikian kepada UMNO. Kenyataan beliau semasa mengulas insiden kebakaran berkenaan, dengan jelas menuduh UMNO terlibat dengan perbuatan berkenaan; dan kenyataan beliau ini telah dilaporkan oleh beberapa media yang condong atau pro-Pakatan Rakyat. Malah, belau juga cuba untuk membayangkan UMNO terlibat dengan perbuatan melemparkan cat merah ke pejabat yang sama dan Pusat Khidmat Adun Komtar, Ng Wei Aik seminggu sebelumnya.

Pada 18 Ogos 2011, saya telah membuat kenyataan menafikan pembabitan UMNO dalam insiden-insiden berkenaan; dan sebagai menghormati hak untuk bersuara beliau dan kemungkinan kenyataannya dibuat bersandarkan emosi semasa itu yang tidak terkawal; saya juga telah meminta beliau memohon maaf kepada UMNO dan menarik balik tuduhan-tuduhan tersebut,” ujarnya lagi.

Berdasarkan sangkaan baik sedemikianlah, UMNO tidak tergesa-gesa untuk mengambil sebarang tindakan undang-undang ke atas kenyatannya sebaliknya telah memberikan beliau tempoh selama 7 hari untuk memohon maaf kepada UMNO dan orang-orang Melayu serta menarik balik kenyataan yang dikeluarkannya.

Namun demikian, Lim Guan Eng ENGGAN untuk menarik balik tuduhan serta menjelaskan keadaan yang sebenarnya. Ini jelas menunjukkan bahawa beliau lebih mementingkan “political scoring” daripada menyatakan fakta sebenar.

“UMNO berpendirian Lim Guan Eng secara sengaja dan terancang ingin mencemar nama baik UMNO dan menimbulkan kecurigaan rakyat Pulau Pinang khususnya terhadap UMNO dengan membuat tuduhan dan tohmahan sedemikian. Pada 19 Ogos 2011, Lim Guan Eng secara bongkak telah mencabar saya melalui twitter untuk saya terus mengambil tindakan undang-undang (saman malu) terhadap beliau tanpa perlu menunggu tempoh 7 hari. Malah Lim Guan Eng melalui twitter juga, secara bongkak telah menyatakan beliau tidak gentar untuk disaman.

Di atas keengganan Lim Guan Eng, untuk menarik balik kenyataannya dan memohon maaf kepada UMNO; maka saya dan UMNO tidak teragak-agak untuk meneruskan dengan dengan mengmbil tindakan undang-undang terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng,” ujarnya.

UMNO sebagai parti politik amat menghormati kebebasan dan hak bersuara setiap individu dan pertubuhan, namun pada masa yang sama UMNO tidak akan bertoleransi dengan individu atau pertubuhan yang menggunakan hak kebebasan bersuara tersebut melewati batasan perundangan. UMNO mengambil pendirian Lim Guan Eng telah menyalahguna hak berkenaan untuk melemparkan fitnah dan tohmahan serta membuat tuduhan-tuduhan tidak berasas kepada UMNO.

Lim Guan Eng secara nyata telah mempergunakan hak beliau untuk menyuarakan pandangan dan pendapat itu telah mengambil kesempatan dan peluang untuk mencemar nama baik dan kredibiliti UMNO sebagai sebuah parti politik orang Melayu.

“Saya dan UMNO Pulau Pinang sudah cukup bersabar dengan tingkah laku dan keceluparan Lim Guan Eng membuat tohmahan dan fitnah terhadap UMNO Pulau Pinang dan saya sendiri selama ini. Oleh yang demikian, UMNO Pulau Pinang telah mengambil keputusan untuk memfailkan samam malu terhadap Lim Guan Eng di Mahkamah.

Untuk tujuan itu UMNO Pulau Pinang telah mendapatkan khidmat guaman daripada Jahaberdeen & Co. Bersama saya hari ini ialah peguam kami, Dato Jahaberdeen Mohamed Yunoos dari firma guaman berkenaan. Peguam kami juga telah menasihati kami bahawa kenyataan-kenyataan Lim Guan Eng yang dilaporkan di dalam akhbar dan media lainnya sebelum ini bukan sahaja berunsur memfitnah atau defamatory, namun ianya juga boleh merupakan kesalahan jenayah,” tambahnya lagi.

Tags: ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

1 Komen

  1. Publisiti je kot! pasai report polis dan saman ni dah jadi macam main wayang dalam politik Malaysia!
    Depa humban je undang-undang, penguatkuasaan dan kuasa entah tang mana...last sekali jadi bahan lawak!

Post a Comment