BN Tidak Akan Korbankan Prinsip Asas Perkongsian Kuasa Dan Keadilan

Barisan Nasional (BN) tidak akan mengorbankan prinsip asas perkongsian kuasa dan keadilan dalam usaha untuk mencapai kata sepakat di dalam isu pengagihan kerusi pada pilihan raya umum (PRU) ke-13, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata apa yang penting di dalam formula pengagihan kerusi di kalangan parti komponen BN adalah kemampuan parti pemerintah untuk mengekalkan kuasa pada PRU akan datang.

“Asas perkongsian kuasa dan keadilan di dalam pembahagian itu (kerusi di antara parti komponen BN), tidak akan kita korbankan,” katanya selepas majlis khas kesejahteraan rakyat kawasan Parlimen Pagoh di Kampung Paya Panjang di sini, hari ini.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, beliau terlibat di dalam perbincangan tentang pengagihan kerusi itu sebagai pengerusi jawatankuasa pengurusan BN dan Timbalan Pengerusi BN.

Beliau berkata formula baru pengagihan kerusi di antara parti komponen BN perlu mengambil kira cabaran-cabaran ekosistem dan landskap politik terkini negara membabitkan pelbagai isu.

“BN mesti mendapat sokongan daripada rakyat dan perlu sedar tentang cabaran-cabaran landskap politik yang sudah berbeza, harapan rakyat yang semuanya sudah jauh berbeza, ianya perlu diambil kira,” katanya.

Formula lama pengagihan kerusi di antara BN, menurutnya telah ‘memenuhi tujuannya” dan kini formula baru perlu dirumus dengan mengambil kira persekitaran politik terkini dalam negara.

Katanya, juga penting dalam isu pengagihan kerusi itu adalah faktor “menang-menang” di antara parti komponen BN.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pada peringkat ini semua parti komponen BN boleh membuat penilaian masing-masing termasuk berkenaan “calon boleh menang” sebagaimana yang diminta oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Semalam, Najib berkata pengagihan semula kerusi BN pada PRU-13 dibuat selaras dengan perubahan politik ketika ini yang memerlukan BN meletakkan calon yang boleh menang.

Kata Perdana Menteri, pengagihan itu juga akan dibuat berasaskan semangat kerjasama di kalangan parti-parti komponen dalam memastikan BN mampu mencapai kemenangan besar pada PRU-13.

Tags: ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment