MBS Desak Hentikan Projek, Nik Nazmi Letak Jawatan ADUN - Badrul


Majlis Belia Selangor (MBS) sekali lagi ingin menyatakan kekecewaan dan bantahan kepada kerajaan negeri Selangor menerusi anak syarikatnya, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mahu membangunkan sebuah projek pembangunan bercampur di tapak padang Kompleks Sukan PKNS di Kelana Jaya. 

Timbalan Presiden Majlis Belia Selangor, Badrul Hisham Badaruddin berkata, rancangan projek ini termaktub di dalam Rancangan Tempatan Petaling Jaya 2 (RTPJ 2) yang di kawal selia oleh Majlis Perbandaran Petaling Jaya.

“Baru-baru ini satu lagi sesi dialog telah diadakan diantara pihak PKNS dan persatuan penduduk SS7 Kelana Jaya yang dihadiri oleh YB Azmin Ali dan Adun Seri Setia YB Nik Nazmi. Ini adalah sesi dialog ke-3 bersama masyarakat tempatan.  Sebelum ini sesi pendengaran awam tentang projek sudah dilaksanakan oleh MPBJ. Sudah nyata dan sahih penduduk dan masyarakat setempat di Kelana Jaya khususnya di SS7 TIDAK mahu projek ini diteruskan.

Mengapakah sesi dialog ini perlu diadakan berulang kali jika pihak MPBJ dan PKNS mengambil serious ketidakpuasan dan bantahan rakyat setempat tentang projek ini?. Apa gunanya ada pendengaran awam jika pandangan kami tidak didengar? Apa gunanya wakil exco negeri hadir jika hanya diam membisu?,” ujarnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Nampaknya, pihak MBPJ dan PKNS seperti menutup telinga dan tidak endah akan rintihan dan kemahuan masyarakat khususnya golongan belia dan orang muda. Sesi dialog ini tidak fokus kepada isu sebenar akan tetapi diteruskan juga dengan taklimat perancangan projek.

Cadangan pembangunan ini juga telah mendapat reaksi negatif dan tentangan daripada masyarakat setempat khususnya persatuan penduduk Kelana Jaya, persatuan sukan dan NGO. PKNS seharusnya lebih peka dan perihatin dengan pandangan masyarakat dan kesan sosio di Kelana Jaya.

Sudah pasti kesesakan di sekitar kawasan perumahan akan berlaku dan penambahan kesesakan jalanraya di Lebuhraya LDP. Laporan dialog ini juga telah mengejutkan siding kerana kesesakan di Lebuhraya LDP sudah melebihi 125%.  MBS berpendapat masih banyak lagi tanah-tanah PKNS di lokasi lain yang lebih sesuai untuk pembangunan baru.

“Lebih mengejutkan lagi apabila diketahui tanah yang diwartakan oleh kerajaan negeri Selangor menerusi Pejabat Perancangan Bandar Dan Desa Selangor  (RTPJ 2, Warta Kerajaan Negeri Selangor No Warta 139 – 13hb Januari 2011) bercanggah dengan warta rasmi MBPJ (RTPJ 2, Warta Kerajaan Negeri Selangor No Warta 139 – 13hb Januari 2011) berkenaan status tanah tapak padang Kompleks Sukan PKNS di Kelana Jaya. Warta Pejabat Perancangan Bandar dan Desa Selangor membuktikan tanah ini masih berstatus “rekreasi / kawasan hijau” berbeza dengan warta rasmi MBPJ bersatus “komersial’.

Kerajaan negeri yang melaung tema negeri berkebajikan dan mendengar masalah rakyat hanyalah seperti tin kosong. Pengerusi PKNS YAB Menteri Besar merangkap Pengerusi Ekonomi negeri, Belia dan Sukan sepatutnya prihatin dan menyahut kemahuan rakyat bukan menzalimi dan mengenepikan rakyat semata-mata mahu mengaut keuntungan. PKNS yang dulunya kukuh dari segi kewangan dan sentiasa mengutamakan rakyat, kini lemah dan menjadi seperti kerbau yang dicucuk hidungnya,” ujarnya lagi.

Sehubungan dengan itu, MBS dan warga belia di Selangor menggesa supaya projek ini dihentikan serta merta, manakala Adun Seri Setia YB Nik Nazmi meletakkan jawatan dan siasatan oleh pihak yang berwajib dibuat demi kepentingan dan kesejahteraan masyarakat di Kelana Jaya khususnya dan golongan belia di Daerah Petaling amnya.
Tags: , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment