Tindakan Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ronnie Liu menyalahkan
Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terhadap isu rumah urut dan pusat hiburan di
Selangor dilihat sebagai satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.
Pengerusi Suara Anak Muda 1Malaysia (SAM1M), Armand Adha Abu
Hanafiah berkata, Ronnie Liu adalah Exco Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab
terhadap PBT ini, maka yang gagal dalam hal ini adalah beliau sendiri.
“Kalau beliau tidak menjalankan tanggungjawab membanteras
kewujudan rumah-rumah urut dan pusat-pusat hiburan ini, saya desak beliau
meletakkan jawatan sebagai Exco kerajaan negeri kerana orang seperti ini hanya
melarikan diri dari tanggungjawab dan amanah yang diberikan oleh rakyat.
“Hari ini kita lihat isu rumah urut dan sebagainya, dia salahkan
Pihak Berkuasa Tempatan. Habis tu, kerajaan negeri buat apa? Bukankah
sepatutnya kerajaan negeri yang menjaga dan mengarahkan PBT. Maknanya
kepimpinan tertinggi kerajaan pakatan di Selangor dari Menteri Besar hinggalah
kepada Exco Kerajaan Negeri lepas tangan dan tidak bertanggungjawab,” ujarnya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ronnie Liu yang
menolak alasan kewujudan rumah urut dan pusat hiburan sebagai penyumbang kepada
masalah sosial di Selangor sebaliknya, masalah sosial yang membabitkan aktiviti
berkenaan adalah isu penguatkuasaan yang memerlukan operasi bersepadu yang
harus dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Sehubungan dengan itu, Armand menasihatkan kerajaan pakatan Selangor
ini jika tidak mampu mentadbir urus dan bertanggungjawab terhadap amanah yang
diberikan rakyat, maka MB dan kepimpinan kerajaan negeri harus meletak jawatan,
seterusnya membubarkan DUN agar BN boleh menunjukkan cara yang betul untuk
mentadbir kerajaan Selangor ini.
“Kepada Ronnie Liu, saya desak agar Ronnie ambil tindakan dan
tutup semua pusat-pusat hiburan dan rumah-rumah urut kerana anda
bertanggungjawab.
“Saya mewakili Suara Anak Muda 1Malaysia (SAM1M) berpandangan
bahawa isu ini harus dipertanggungjawabkan kepada kepimpinan tertinggi kerajaan
pakatan Selangor khususnya Tan Sri Khalid,” ujarnya yang juga Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Petaling Jaya Utara (PJU).
1:18 PM
Hooi Ronney Lu...pls step down..u are failure already...manyak lumah ulut di Selangor...loor