Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan
Salam 1Malaysia
Rakyat Malaysia yang dikasihi,
1. Pada malam ini saya berdiri di hadapan tuan-tuan dan puan-puan
bagi pihak diri saya selaku ketua kerajaan dan bagi pihak rakan-rakan dalam
Jemaah Menteri bagi membentangkan hasil perkembangan prakarsa Program
Transformasi Kerajaan atau GTP dan Program Transformasi Ekonomi atau ETP.
2. Kedua-dua prakarsa bermula masing-masing pada tahun 2010 dan
2011 adalah bersama-sama dengan Program Transformasi Politik atau PTP dan
Program Transformasi Sosial atau PTS. Ia membentuk Dasar Transformasi Nasional
bagi memacu Malaysia ke arah pencapaian wawasan kebangsaan, menjadi sebuah
negara maju berpendapatan tinggi, menjelang tahun dua ribu dua puluh.
3. Alhamdulillah, suka saya melaporkan kepada rakyat Malaysia
bahawa dengan berkat kerjasama dan usaha gigih semua pihak sama ada rakyat
terbanyak, pihak swasta, penjawat awam mahupun anggota pentadbiran, sebahagian
besar matlamat yang telah dirancang berjaya dicapai. Kesannya, taraf dan
kualiti hidup rakyat semakin baik, ekonomi negara semakin makmur manakala
keadaan kewangan kerajaan terus bugar.
4. Perancangan dan pelaksanaan ETP dan GTP bukan sahaja
membuktikan iltizam kerajaan terhadap falsafah pemandu negara 1Malaysia, Rakyat
Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, tetapi ia juga merupakan eksperimen paling
berani yang pernah dilaksanakan oleh mana-mana kerajaan di dunia dalam
mengamalkan prinsip ketelusan dan kepertanggungjawaban.
Tuan-tuan dan puan-puan,
5. Rakyat terbanyak serta semua pihak yang berkepentingan boleh,
melalui proses perundingan dibuat menyumbang melalui makmal-makmal yang
diadakan dalam proses pembentukan GTP dan ETP. Mereka juga mampu menilai
pencapaian kedua-dua prakarsa ini melalui laporan tahunan dan laporan berkala
yang dikeluarkan dari semasa ke semasa.
6. Mungkin ada yang bertanya, bagaimana rojak kependekan ini mampu
menyentuh kehidupan kita? GTP, ETP, NKRA, NKEA, EPP? Apa hubungkaitnya dengan
tuan-tuan dan puan-puan sekelian? Jawapannya ialah, semuanya dirangka serta
digubal bagi meningkatkan kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia secara terancang.
7. Sesungguhnya lagi, semua prakarsa ini, tidak lain dan tidak
bukan, ialah langkah kerajaan untuk membolehkan setiap rakyat Malaysia mendapat
akses kepada yang terbaik dalam kehidupan. Pekerjaan dengan pendapatan yang
setimpal di mana, semakin tinggi kemahiran dan kepakaran yang dimiliki, semakin
tinggi pula ganjarannya.
8. Pendidikan yang bermutu bermula dari pra sekolah lagi, untuk
mengoptimakan potensi diri, perkhidmatan kesihatan yang terbaik, prasarana awam
yang mencukupi dan pemilikan rumah yang selesa serta berkemampuan untuk
berlindung dan membesarkan anak-anak.
9. Jelasnya, kerajaan ini ialah kerajaan yang bertanggungjawab.
Kerajaan ini ialah kerajaan yang menepati janji. Kerajaan ini ialah kerajaan
yang meletakkan maslahah serta kesejahteraan rakyat di atas segala-galanya.
Sebab itulah sebelum berjanji kepada rakyat, kita telah mengkaji, pertamanya,
adakah janji yang diberikan kepada rakyat itu akan mendatangkan faedah dan
tidak memudaratkan, sama ada untuk jangka pendek, sederhana atau panjang.
Keduanya, adakah janji yang dibuat tersebut mampu untuk kita tunaikan? Bukannya
janji sekadar janji.
Tuan-tuan dan puan-puan,
10. Dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, rakyat
teramailah yang menentukan parti mana yang dipercayai untuk membentuk sebuah
kerajaan. Realitinya, bukan semua kerajaan sama berkemampuan. Ya, betul,
jangkaan oleh rakyat kepada setiap kerajaan sama, namun, prestasi setiap
kerajaan adalah berbeza. Pastinya, ada kerajaan yang berkesan dan ada kerajaan
yang lemah serta gagal menunaikan amanah yang diberi.
11. Sebab itulah ada negara yang berjaya meningkatkan taraf
daripada status mundur, kepada status membangun dan kemudiannya maju. Ada
negara pula, tidak berubah statusnya, terus terperangkap sama ada dalam
kemunduran atau membangun. Apa yang lebih teruk, ada juga negara bersifat
regresif hingga jatuh tarafnya daripada negara membangun menjadi negara mundur.
Tuan-tuan dan puan-puan,
12. Kita amat bersyukur bahawa Malaysia hari ini ialah manifestasi
sebuah negara yang berjaya. Hasil perancangan teliti dan rapi serta pelaksanaan
dasar-dasar pembangunan berkesan, Malaysia telah berubah daripada status negara
pertanian berpendapatan rendah kepada sebuah negara perindustrian moden
berpendapatan sederhana tinggi.
13. Ternyata, kita ialah bukti dan contoh sebuah negara yang amat
progresif. Semenjak kemerdekaan dan pada dekad-dekad awal, kerajaan telah
menjadikan agenda membasmi kemiskinan, reformasi tanah, keadilan sosial,
meningkatkan akses kepada setiap tahap pendidikan, perkhidmatan kesihatan untuk
semua dan penjanaan kekayaan nasional sebagai agenda negara.
14. Dalam aspek ini, hasil kejayaan negara boleh disaksikan
daripada peningkatan Pendapatan Negara Kasar atau PNK per kapita daripada 257
dolar Amerika pada tahun 1957 kepada 9970 dolar Amerika pada tahun 2012. Ini
merupakan peningkatan hampir 4000 peratus dalam tempoh lebih lima dekad.
15. Peningkatan taraf hidup ini diperjelaskan lagi melalui
angka-angka, hasil daripada Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah. PPIR 2012
menunjukkan bahawa, isi rumah bulanan purata Malaysia meningkat daripada 4,025
ringgit pada tahun 2009 kepada 5,000 ringgit pada tahun 2012. Ini adalah
peningkatan lebih daripada 1,200 peratus, sejak Penyiasatan Pendapatan Isi
Rumah dimulakan pada tahun 1974.
16. Manakala, kadar kemiskinan pula terus menurun daripada lebih
enam puluh peratus pada awal kemerdekaan kepada 1.7 peratus pada tahun 2012.
Jurang pendapatan di kalangan rakyat Malaysia juga bertambah baik dengan kadar
Pekali Gini menurun kepada 0.431 pada tahun 2012. Kadar inflasi negara juga
kekal berada di paras yang rendah iaitu 1.2 peratus pada Disember 2012. Kadar
ini adalah antara yang terendah di rantau ini.
Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,
17. Setelah tiga tahun kerajaan memulakan inisiatif GTP, maka pada
kesempatan ini saya ingin melaporkan pencapaian-pencapaian yang berjaya
dizahirkan di bawah tujuh bidang-bidang keberhasilan utama seperti berikut:
18. Pertama: NKRA Menangani Kos Sara Hidup Rakyat yang
diperkenalkan, telah berjaya membawa manfaat kepada kehidupan rakyat yang
berpendapatan rendah. Di bawah NKRA ini, Kerajaan telah mengambil beberapa
inisiatif antaranya:-
19. Pertama, dalam rangka mempastikan subsidi benar-benar
memanfaatkan kumpulan sasar, Kerajaan telah mengambil keputusan untuk
melanjutkan program Bantuan Rakyat 1Malaysia dan memperluas lagi skop program
ini kepada individu bujang. Ini melibatkan peruntukan sejumlah lebih 2.34 bilion
ringgit dan memanfaatkan lebih 6 juta rakyat Malaysia.
20. Pemberian Bantuan Persekolahan 100 ringgit atau Baucer Sekolah
1Malaysia kepada murid-murid sekolah rendah dan menengah. Sejumlah 524 juta
ringgit telah diperuntukkan dan usaha ini memberi manfaat kepada lebih 5.24
juta murid.
21. Bagi pelajar-pelajar yang sedang mengikuti pengajian di
peringkat tinggi di universiti serta kolej pula pemberian 250 ringgit sebagai
Baucer Buku 1Malaysia memanfaatkan seramai lebih 390,000 pelajar dengan peruntukkan
lebih 97.5 juta ringgit.
22. Sebagai bukti keprihatinan terhadap permasalahan rakyat dalam
menanggung kos kehidupan seharian yang semakin meningkat, Kerajaan telah
memperuntukkan sebanyak 37.8 bilion ringgit bagi membiayai pelbagai bentuk
pemberian di mana sebanyak
22. 3 bilion ringgit adalah untuk Subsidi, 873.5 juta ringgit
untuk insentif dan 14.6 bilion ringgit bagi bantuan.
23. Di samping itu, melalui inisiatif Jenama 1Malaysia, rakyat
kini mempunyai alternatif dalam mendapatkan barangan keperluan harian dan
perkhidmatan dengan kos yang secara puratanya 20 hingga 40 peratus lebih rendah
daripada harga pasaran. Melalui inisiatif ini, Kerajaan telah memperluaskan
lagi pembukaan Kedai Rakyat 1Malaysia menjadi 85 buah semuanya. Sejumlah 168
Klinik 1Malaysia pula sedang memberi rawatan kepada lebih enam juta rakyat
Malaysia dengan kos hanya satu ringgit.
24. Selain itu, kita juga sedang melaksanakan inisiatif-inisiatif
Kedai Buku 1Malaysia, Kedai Kain 1Malaysia, Projek Perumahan 1Malaysia atau
PR1MA, Bantuan Tayar 1Malaysia, Kebajikan Rakyat 1Malaysia atau KAR1SMA serta
Menu Rakyat 1Malaysia. Saudara dan saudari, sesungguhnya dan sememangnya segala
ikhtiar ini dan semua yang dilakukan ini demi kepentingan serta kesejahteraan
segenap rakyat Malaysia tercinta.
Tuan-tuan dan puan-puan,
NKRA kedua, Mempertingkatkan Taraf Kehidupan Isi Rumah
Berpendapatan Rendah.
25. Sungguhpun Kerajaan telah berjaya mengurangkan kadar
kemiskinan kepada 1.7 peratus dan meletakkan kemiskinan tegar dalam lipatan
sejarah, namun usaha untuk meningkatkan taraf hidup mereka yang berpendapatan
rendah bukan sahaja akan diteruskan, malah, akan ditingkatkan lagi.
26. Untuk itu, melalui program Akhiri Zaman Miskin atau 1AZAM
seramai 106,967 telah berjaya didaftarkan di bawah program-program Azam Kerja,
Azam Niaga, Azam Khidmat dan Azam Tani. Ribuan rakyat telah menerima pembiayaan
mikro melalui Amanah Ikhtiar Malaysia, TEKUN Nasional dan Yayasan Usaha Maju.
27. Di bawah program e-Kasih pula, sebanyak 89 peratus atau lebih
100,000 mereka yang berdaftar telah berjaya dikeluarkan daripada belenggu
kemiskinan dalam tempoh hanya 3 tahun.
28. Dalam rangka memastikan isi rumah berpendapatan rendah
mendapat akses kepada kediaman pula, pelbagai inisiatif sedang dan telah
dilaksanakan oleh beberapa agensi kerajaan antaranya Kementerian Perumahan dan
Kerajaan Tempatan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Syarikat Perumahan Negara
Berhad. Bagi usaha ini, kerajaan telah menawarkan, lebih 100,000 unit kediaman
mampu milik.
Tuan-tuan dan puan-puan,
NKRA Ketiga, Mempertingkatkan Infrastruktur Asas Luar Bandar
29. Kerajaan akan terus mempastikan rakyat Malaysia yang tinggal di
kawasan luar bandar tidak terpisah daripada arus perdana pembangunan. Komitmen
kerajaan ini telah dizahirkan melalui program infrastruktur luar bandar. Di
bawah inisiatif ini, lebih 3,300 kilometer jalan raya telah dibina, lebih 1.4
juta isi rumah dibekalkan air bersih dan lebih 470 ribu isi rumah mendapat
akses elektrik yang terjamin.
30. Di samping itu, Kerajaan juga telah membina dan membaik pulih
53 ribu rumah bagi penduduk miskin luar bandar. Ini melibatkan lebih 266 ribu
isi rumah atau hampir sejuta orang. Sesungguhnya, kesemua inisiatif di bawah
NKRA ini telah menambah baik kesejahteraan hidup hampir 4 juta rakyat Malaysia
yang tinggal di luar bandar.
Rakyat Malaysia dikasihi sekalian.
NKRA Keempat, Mempertingkatkan Pencapaian Pelajar
31. Menyedari bahawa anak-anak adalah pewaris dan masa hadapan
negara, Kerajaan beriltizam untuk mempastikan bahawa setiap anak Malaysia akan
mendapat permulaan pemelajaran seawalnya dalam hidup mereka. Melalui
usaha-usaha yang telah dilaksanakan di bawah NKRA Mempertingkat Pencapaian
Pelajar, enrolmen prasekolah telah berjaya ditingkatkan jumlahnya kepada hampir
770 ribu pada 2012 atau 80 peratus kohort umur berkenaan. Ini merupakan satu
peningkatan jika dibandingkan dengan angka pada tahun 2009, di mana hanya, 67
peratus kohort umur tersebut berpeluang mendapat pendidikan prasekolah.
32. Pada tahun 2012, kita juga telah berjaya mengeluarkan 164 atau
lebih 40 peratus sekolah-sekolah daripada kumpulan berprestasi rendah atau apa
yang dikelaskan sebagai jaluran 6 dan 7 kepada jaluran yang lebih baik yakni
jaluran 1 hingga 5.
Tuan-tuan dan puan-puan,
NKRA Kelima, Mempertingkatkan Pengangkutan Awam Bandar
33. Kerajaan kini sedang giat untuk menambah baik pengangkutan
awam bandar. Rakyat boleh melihat bukti usaha ini melalui kerja-kerja pembinaan
yang sedang dilaksanakan khususnya projek penyambungan LRT dan MRT. Kerajaan
berharap rakyat dapat bersabar sedikit terhadap kesulitan dan kesesakan lalu
lintas yang sedang dialami. Ini adalah fenomena yang sementara. InsyaAllah,
apabila semua projek ini siap, rakyat Malaysia kelak akan menikmati
pengangkutan awam yang cekap dan antara yang terbaik di rantau ini.
34. Antara inisiatif yang telah pun dilaksanakan ialah penambahan
tren enam gerabak bagi perkhidmatan tren Komuter KTM, perkhidmatan bas GoKL
yang menawarkan perjalanan percuma serta pelaksanaan Sistem Maklumat Penumpang
agar pengguna mempunyai gambaran yang lebih baik tentang masa menunggu sebelum
ketibaan bas.
35. Menjejaki masa depan pula, rakyat boleh menjangkakan sistem
keretapi laju yang akan menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura dalam masa 90
minit, jajaran MRT fasa kedua, landasan kereta api elektrik berkembar Ipoh -
Padang Besar dan pembinaan Lebuhraya Pantai Barat. Pada analisis akhirnya, ini semua
akan meningkatkan kualiti pengangkutan awam bandar seterusnya gaya hidup
rakyat.
Tuan-tuan dan puan-puan,
NKRA Keenam, merujuk inisiatif Membanteras Rasuah
36. Rasuah mampu menghancurkan negara dan melemahkan integriti
institusi nasional serta menjadi penghalang besar kepada wawasan negara.
Menyedari hakikat ini, kerajaan tegas memulakan perang terhadap rasuah semenjak
tahun 1967 apabila tertubuhnya Badan Pencegah Rasuah dan kini diperkukuhkan
lagi dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau SPRM.
37. Hari ini, Malaysia merupakan satu-satunya negara yang
menjadikan usaha membanteras rasuah sebagai Penunjuk Prestasi Utama atau KPI
negara.
38. Inisiatif NKRA Membanteras Rasuah telah menunjukkan
keberkesanan apabila kedudukan Indeks Persepsi Rasuah oleh Transparency
International negara telah bertambah baik enam anak tangga kepada kedudukan 54
pada tahun 2012 dan berada pada kedudukan ketiga dalam kalangan negara ASEAN.
39. Melalui penubuhan 14 Mahkamah Sesyen Khas dalam tempoh tiga
tahun yang lalu, lebih 400 kes rasuah telah dibicarakan dan daripada itu hampir
260 kes telah berjaya diselesaikan pada akhir tahun 2012.
40. Selanjutnya, dalam usaha untuk meningkatkan ketelusan dan
integriti proses pilihanraya, saya selaku Pengerusi Barisan Nasional telah
menandatangani Ikrar Integriti Pilihanraya bagi memastikan PRU-13 bebas dan
telus. Untuk itu, saya menyeru kepada semua parti politik supaya “walk the
talk” dan mempunyai keberanian moral untuk menandatangani ikrar yang sama.
Tuan-tuan dan puan-puan,
NKRA Ketujuh, ialah Mengurangkan Jenayah
41. Bagi mempastikan rakyat hidup dalam keadaan aman dan
sejahtera, Kerajaan telah melaksanakan prakarsa membanteras jenayah. Saya ingin
melaporkan bahawa kita telah berjaya mengurangkan kadar jenayah sehingga 27
peratus dalam tempoh tiga tahun. Kerajaan akan mempastikan Polis DiRaja
Malaysia akan ditingkat upaya dan distruktur sesuai dengan keperluan memerangi
jenayah moden.
42. Pasukan polis akan di transformasi daripada hanya sebuah pasukan
keselamatan kepada sebuah perkhidmatan kepolisan yang berorientasikan
masyarakat. Jelasnya, perkhidmatan polis tidak akan berjaya tanpa sokongan
rakyat.
43. Maka, saya ingin menggesa seluruh rakyat untuk berganding bahu
dengan pihak polis dan pihak berkuasa yang berkenaan kerana keselamatan dan
keamanan negara merupakan tanggungjawab bersama.
Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,
44. Seperti mana yang saya sebutkan pada tahun lepas, hubungkait
antara Model Baru Ekonomi, Prakarsa Pembaharuan Strategik, Program Transformasi
Ekonomi, 12 NKEA dan 152 EPP bolehlah diumpamakan dalam analogi berikut:
45. Model Baru Ekonomi dan Prakarsa Pembaharuan Strategik bolehlah
diibaratkan sebagai lebuhraya. Manakala ETP merupakan kenderaan yang akan
menggunakan lebuhraya membawa kita ke destinasi akhir, iaitu sebuah negara maju
berpendapatan tinggi. 12 NKEA di bawah ETP ialah bahagian-bahagian enjin kepada
kenderaan tersebut.
46. Manakala EPP ialah bahan api atau “fuel” yang akan
menggerakkan kenderaan ini. Untuk Malaysia menjadi sebuah negara maju, kesemua
komponen termasuk kenderaan, enjin, bahan api dan lebuhraya hendaklah berada
dalam keadaan yang terbaik.
Tuan-tuan dan puan-puan,
47. Dari segi pencapaian Program Transformasi Ekonomi pula, saya
berbesar hati dan berasa bangga menyaksikan sektor swasta memainkan peranan
yang penting, sejajar dengan aspirasi dan harapan kita.
48. Sejak pelancaran ETP pada lewat tahun 2010, kadar pertumbuhan
pelaburan swasta telah berkembang lebih tiga kali ganda, mencatat peningkatan
sebanyak 22% pada tahun 2012. Selari dengan matlamat ETP di mana sektor swasta
memainkan peranan utama sebagai pemacu ekonomi negara, nisbah pertumbuhan
pelaburan swasta terus mengalami peningkatan konsisten. Jika pada tahun 2009
jumlah pelaburan swasta hanya merangkumi 52 peratus, angka ini telah meningkat
kepada 58 peratus pada tahun 2012.
49. Ini adalah bukti keyakinan sektor swasta yang semakin
meningkat terhadap inisiatif transformasi nasional. Angka menunjukkan, pada
tahun 2012, pelaburan swasta telah mengatasi sasaran dengan mencapai jumlah
139.5 bilion ringgit, dipacu oleh perbelanjaan modal yang tinggi dalam sektor
pengilangan, perkhidmatan dan perlombongan.
50. Pelaburan swasta penting kerana ia mempengaruhi kadar
pertumbuhan ekonomi negara. Kerancakkan pelaburan swasta yang lebih besar
berkadar langsung dengan kadar pertumbuhan ekonomi negara yang lebih tinggi.
Pertumbuhan akan menjana kekayaan nasional. Kekayaan yang terhasil ini akan
membolehkan kerajaan menjayakan lebih banyak inisiatif yang memanfaatkan
rakyat.
Tuan-tuan dan puan-puan,
51. Di antara pencapaian-pencapaian Bidang Ekonomi Utama Negara
atau NKEA adalah:
• Pertama, bagi sektor pelancongan, bagi tahun 2011 dan 2012,
jumlah pelancong yang melawat Malaysia ialah hampir 50 juta orang dengan jumlah
PNK bernilai hampir 100 bilion ringgit.
• Kedua, dalam pembangunan Greater Kuala Lumpur, setakat 31
Disember 2012, projek My Rapid Transit atau MRT telah menawarkan 48 pakej
kontrak berjumlah 19.8 bilion ringgit dan 45 peratus atau 8.9 bilion ringgit
daripada jumlah keseluruhan telah diberi kepada kontraktor Bumiputera.
• Ketiga, bagi sektor minyak dan gas, projek RAPID di Pengerang
bakal mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada 4,000 orang dan
kerja-kerja pembinaan kepada 20,000 orang.
• Keempat, dalam sektor minyak sawit pula, kita telah berjaya
menanam semula seluas kira-kira 113,000 hektar kelapa sawit.
• Kelima, bagi sektor kandungan dan infrastruktur komunikasi dan
industri kreatif, sebanyak 547 juta ringgit, keluaran kreatif telah dieksport
dan 157 ribu jam kandungan kreatif telah terhasil. Di antaranya adalah
pembikinan filem bertajuk Life of Pi, telah berjaya meraih 4 kemenangan
daripada 11 pencalonan di Academy Awards baru-baru ini yang melibatkan
kepakaran kreatif anak tempatan.
• Keenam, untuk tempoh 2011 dan 2012, seramai 1,087 pemilik kedai
runcit telah mendapat manfaat daripada menyertai program Transformasi Kedai
Runcit atau TUKAR. Kedai-kedai yang menyertai program ini telah menyaksikan
dalam tempoh 6 hingga 12 bulan selepas pelaksanaannya, purata jualan meningkat
sebanyak 30 peratus.
52. Di atas angka-angka yang meningkat ini adalah keyakinan
positif oleh pelabur-pelabur swasta kepada ekonomi negara kita. Ia
diterjemahkan di dalam bentuk penciptaan peluang-peluang pekerjaan bernilai
tinggi, peluang-peluang perniagaan kepada usahawan serta projek-projek
komersial yang mampu memberi limpahan faedah kepada rakyat amnya.
53. Hasilnya, Pendapatan Negara Kasar per kapita negara telah
menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan. Jika kita imbau, sebelum
inisiatif ETP bermula, PNK per kapita pada tahun 2009 ialah 6,700 dolar
Amerika. Pada tahun 2012, angka ini telah meningkat sebanyak 49 peratus kepada
9,970 dolar Amerika. Trend ini akan menyaksikan Malaysia mencapai status sebuah
negara berpendapatan tinggi mengikut takrifan Bank Dunia lebih awal daripada
yang dijangkakan.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
54. Kejayaan meningkatkan taraf hidup ini perlu dilihat dari
konteks bahawa pada tahun 1957 apabila negara mencapai kemerdekaan, PNK per
kapita negara hanya 257 Dolar Amerika. PNK ialah ukuran utama yang digunakan di
peringkat global bagi mengukur kemajuan atau kemunduran taraf hidup rakyat
sesebuah negara.
55. Kadar PNK yang tinggi, berkadar langsung dengan taraf hidup
yang juga tinggi. Begitu juga dengan PNK yang rendah. Selain daripada PNK,
mekanisma lain yang digunakan untuk menilai taraf hidup rakyat sesebuah negara
ialah Per Capita Purchasing Power Parity atau Pendapatan Per Kapita Berasaskan
Kuasa Beli. Waima, mengikut kaedah ini pun, kuasa beli rakyat Malaysia adalah
hampir dua kali ganda pendapatan per kapita yang ada.
56. Kesan langsung daripada peningkatan angka-angka ini boleh
dilihat dan dirasai melalui perubahan gaya hidup rakyat. Sebagai contoh,
kemampuan rakyat teramai untuk pergi melancong, mengerjakan umrah, memiliki
lebih daripada satu kenderaan dan telefon pintar, pelaburan di dalam unit
amanah dan hartanah serta pelbagai lagi.
57. Sehubungan ini juga, sehingga 31 Disember 2012, 149 projek
telah diumumkan di bawah ETP sejak tahun 2010, dengan jumlah terkumpul sebanyak
211.34 bilion ringgit dalam pelaburan yang telah dimeterai. Hasil pencapaian
ini, sumbangan PNK pada tahun 2020 dijangka mencecah 135.64 bilion ringgit dan
sejumlah lebih 400 ribu pekerjaan dijangka dapat diwujudkan.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
58. Atas dasar inilah, maka Kerajaan telah mengenalpasti enam
Prakarsa Pembaharuan Strategik untuk memangkin daya saing negara. Dalam bidang
Modal Insan, Piawaian Antarabangsa dan Liberalisasi, mahupun dalam usaha
merapatkan jurang, khususnya dari segi penglibatan Bumiputera dalam ekonomi.
Kerajaan menyasarkan agar rakyat Malaysia seluruhnya menjiwai kepentingan daya
saing dalam usaha memartabatkan negara.
59. Prakarsa Pembaharuan Strategik berkaitan Persaingan, Standard
dan Liberalisasi, bertujuan membangunkan persekitaran perniagaan yang cekap dan
berdaya saing di Malaysia. Antara pencapaian penting SRI pada tahun 2012 ialah
penguatkuasaan Akta Persaingan 2010 dan kes pertamanya telah pun diselesaikan.
60. Manakala liberalisasi 17 subsektor telah berjaya dilaksanakan
dan susulan daripada itu, subsektor ke-18, iaitu subsektor ukur bahan bakal
diliberalisasikan pada tahun 2013 dan beberapa syarikat pelaburan berkaitan
Kerajaan telah diapung dan dijual pada tahun 2012 bagi mengurangkan peranan
Kerajaan dalam perniagaan. Mustahaknya, kesemua inisiatif ini akan membuka
peluang dan mempermudahkan urusan perniagaan.
Rakyat yang dikasihi sekalian,
61. Kita berasa syukur kerana Malaysia terus mengukuhkan pelbagai
tangga kedudukan di peringkat antarabangsa. Antara pengiktirafan yang telah
diterima daripada institusi bertaraf dunia adalah seperti berikut:
62. Pertama, mengikut World Bank Ease of Doing Business Report
2013, secara keseluruhannya Malaysia merupakan negara ke-12 paling mesra
perniagaan di dunia. Menurut laporan yang sama juga, Malaysia menduduki tangga
pertama dari segi akses kepada kemudahan kredit.
63. Kedua, menurut Institute of Management Development di dalam
laporan World Competitiveness Yearbook 2012/2013, Malaysia adalah negara ke-14
paling berdaya saing di dunia. Kedua-dua agensi tersebut juga meletakkan
Malaysia di tangga keempat di dunia yang paling melindungi pelabur
64. Perunding pengurusan global AT Kearney mengeluarkan beberapa
indeks yang menunjukkan pencapaian Malaysia sebagai negara ke-10 bagi Destinasi
Menarik Pelaburan Langsung Asing dalam Indeks Keyakinan Pelaburan Langsung
asing 2012. Malaysia turut diiktiraf sebagai negara ketiga di dunia bagi Lokasi
Menarik bagi Destinasi Penyumberan Luar 2011 selepas India dan China.
65. Globe Shopper Index oleh Economist Intelligence Unit
menunjukkan Kuala Lumpur sebagai pusat bandar membeli-belah kedua terbaik di
Asia Pasifik.
66. International Living Magazine melaporkan Malaysia sebagai
negara Ketiga terbaik untuk persaraan bagi tahun 2013.
67. Manakala, dalam pasaran modal pula, indeks KLCI Bursa Malaysia
mencatat angka tertinggi iaitu 1,688 mata pada 31 Disember 2012. Ia telah
menyaksikan kenaikan “market capitalisation” daripada 999 bilion ringgit pada
Disember 2009 kepada 1.47 trilion ringgit atau peningkatan sebanyak 47 peratus.
Ini bererti, sebanyak 466 bilion ringgit kekayaan telah berjaya dijana sejak
semua inisiatif transformasi dimulakan. Sebagai peneraju kewangan Islam di
dunia dan sebagai pemacu utama sukuk global pula, Malaysia juga telah
menerbitkan sukuk yang bernilai 97.1 bilion dolar Amerika pada tahun 2012.
Tuan-tuan dan puan-puan,
68. Sesungguhnya, pengiktirafan-pengiktirafan global kepada
Malaysia ini adalah satu testimoni kejayaan kepada prakarsa-prakarsa GTP dan
ETP sejak ia dilaksanakan. Ia juga adalah testimoni bahawa kita berada di
landasan yang betul. Sehubungan itu, saya bagi pihak kerajaan ingin merakamkan
ucapan terima kasih kepada semua penjawat awam, pihak swasta dan rakyat
Malaysia sekalian yang telah bertungkus-lumus menjayakan agenda besar
transformasi untuk semua ini.
Rakyat Malaysia yang dikasihi,
69. Alhamdulillah ceritera Malaysia ialah cerita kejayaan. Ia
cerita harapan yang mengatasi nujum kemusnahan. Namun kejayaan ini tidak
mungkin tercipta tanpa gebar keselamatan serta kestabilan yang dihasilkan oleh
Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan lain-lain agensi
keselamatan negara.
70. Insiden keganasan di Lahad Datu menjadi semboyan peringatan
bahawa kita sekali-kali tidak mampu mengambil mudah soal keselamatan. Keamanan
dan kestabilan yang berpanjangan tidak harus menjadi sebab ketumpulan tahap
kita berwaspada.
71. Tragedi ini telahpun mengorbankan nyawa sepuluh orang anggota
pasukan keselamatan negara. Lapan orang daripada pasukan Polis DiRaja Malaysia
dan mutakhir dua anggota tentera yakni Koperal Ahmad Hurairah Ismail yang
berasal dari Pasir Mas dan Koperal Ahmad Farhan Ruslan dari Kota Bharu.
72. Kita menginsafi bahawa hasil pengorbanan pahlawan-pahlawan
negara ini seperti mana pada era darurat dan insurgensi telah memungkinkan
kemajuan dan kemakmuran kita nikmati hingga hari ini. Pengorbanan mereka bukan
sia-sia, pengorbanan mereka bukan kecil, pengorbanan mereka bukan untuk
diperlekehkan.
73. Oleh yang demikian, kepada pihak-pihak yang cuba untuk
memperkecilkan sumbangan anggota keselamatan ini, saya ingin mengingatkan
kepada mereka, belajarlah mengenang budi. Sewajarnya kita semua berterima kasih
di atas jasa dan bakti mereka yang telah berjuang demi tanah air tercinta ini.
Kenanglah ibu bapa yang meniti hari tua tanpa mereka lagi di sisi, kenangilah
isteri-isteri yang menjadi balu serta anak-anak yang kehilangan belai manja
bapanya. Kepada mereka kita berjanji bahawa negara ini akan sentiasa memuliakan
bakti serta pengorbanan tersebut.
Tuan-tuan dan puan-puan,
74. Di sini juga saya ingin menegaskan bahawa negeri Sabah
selama-lamanya merupakan sebahagian dari Persekutuan Malaysia. Rakyat Sabah
ialah warganegara Malaysia. Untuk itu kita akan tetap mempertahankan
kemerdekaan, kedaulatan serta keutuhan wilayah Malaysia daripada sebarang
pencerobohan. Kita tidak akan membenarkan barang seinci pun bumi Malaysia
dirampas oleh sesiapa. Inilah komitmen kerajaan yang ada hari ini.
Rakyat Malaysia yang dikasihi,
75. Mencapai status negara maju berpendapatan tinggi adalah
matlamat kita. Apa yang mustahak, kita mahu menjadi sebuah negara maju
berpendapatan tinggi dengan acuan kita sendiri, di mana kebahagiaan individu,
keluarga dan masyarakat menjadi asas utama bukan semata-mata angkatunjuk
ekonomi. Oleh kerana itulah, Dasar Transformasi Negara digubal dan dilaksana
bagi memastikan setiap rakyat Malaysia akan merasai nikmat kemajuan yang
diusahakan.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
76. Saya bagi pihak kerajaan telahpun membentangkan laporan
tentang perjalanan yang telah dilalui semenjak tiga tahun lalu. Saya yakin
bahawa rakyat telahpun bukan sekadar dapat melihat, mendengar dan menilai apa
yang telah berlaku, tetapi juga merasai kesannya.
77. Maka, kini, saatnya hampir tiba apabila rakyat akan membuat
pilihan tentang halatuju negara untuk tempoh lima tahun akan datang. Pilihan
ini ialah tentang kebolehpercayaan, tentang harapan, tentang masa depan,
tentang kelangsungan ceritera kejayaan Malaysia dan tentang janji ditepati.
78. Dari itu, rakyat Malaysia perlu memilih antara kerajaan hari
ini yang telah membuktikan bahawa ianya sebuah kerajaan yang boleh dipercayai,
kerajaan yang mendokong harapan, kerajaan yang berusaha gigih mencipta masa
depan yang lebih baik untuk anak-anak Malaysia, kerajaan yang akan meneruskan
dasar-dasar yang terbukti berjaya ATAU pihak sebelah sana yang, apabila
bercakap ibarat lidah tidak bertulang, apabila diberi amanah pula mereka
mengambil mudah.
79. Kita juga bukan seperti mereka, apabila musim pilihan raya
menerbitkan manifesto tetapi setelah menjadi kerajaan janji-janji itu
dimungkiri. Sudahlah manifesto yang dibuat tidak ditunaikan, diterbitkan pula
janji baru dalam bentuk buku jingga yang ternyata tidak dikaji dengan baik
kemampuannya dan kesan kepada kewangan negara. Tidak cukup setakat itu,
nampaknya, belum pun kering dakwat dokumen buku jingga, dikeluarkan pula
manifesto baru.
80. Pucuk pangkalnya, jika janji lama dimungkiri, janji baru yang
dibuat hampir mustahil untuk ditunaikan, maka, bolehkah rakyat berpegang kepada
janji-janji baru mereka? Adakah sebenarnya mereka boleh dipercayai? Mampukah
kita mempertaruhkan harapan masa depan anak cucu kita kepada mereka? Walhal
dengan rekod yang buruk, adakah kita yakin mereka mampu mencipta masa depan
yang lebih baik?
81. Oleh yang demikian, pilihlah kerajaan yang transformatif.
Janganlah pilih kerajaan yang memusnah. Janganlah memilih kerajaan yang akan
meruntuhkan masa depan kita dan anak-anak kita. Janganlah sesekali
bereksperimen dengan masa depan kerana amat sukar untuk bangkit dan pulih dari
kepunahan sekiranya ia melanda akibat pilihan yang salah.
82. Hakikatnya, kerajaan hari ini adalah kerajaan yang menjunjung
kesejahteraan rakyat. Salah satu contoh terbaik iltizam ini ialah Bantuan Rakyat
1Malaysia. BR1M 1.0 dan 2.0 yang kerajaan berikan, telah sampai langsung ke
tangan rakyat. Ia satu inisiatif yang mendatangkan manfaat yang besar kerana
dapat membantu meringankan beban mereka yang berpendapatan rendah.
83. Sehubungan dengan itu, tuan-tuan dan puan-puan, sukacita saya
mengumumkan kerajaan akan menjadikan dan meneruskan Bantuan Rakyat 1Malaysia
sebagai inisiatif tahunan.
Tuan-tuan dan puan-puan rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,
84. Marilah kita bina masa depan yang gemilang untuk semua,
marilah kita bina masa depan yang menjanjikan pulangan adil kepada yang bekerja
keras, yang berkreativiti, yang berinovasi dan yang sanggup mengambil risiko.
Marilah kita bina sebuah Malaysia yang menjanjikan taman kebahagiaan untuk
semua.
Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi
Wabarakatuh
Sekian, terima kasih.
0 Komen