Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri
Najib Tun Razak berkata kesemua calon yang dinamakan pada pilihan raya umum ke-13
(PRU13) untuk mewakili BN, adalah anggota parti yang begitu berdedikasi dan
mengambil berat terhadap masalah rakyat.
Justeru, beliau beharap agar rakyat meluangkan masa mengenali
calon-calon
itu dengan lebih dekat, mengetahui perubahan yang ingin dibawa dan
wawasan mereka terhadap kawasan yang diwakili serta negara secara
keseluruhannya.
"Dalam lebih tiga minggu lagi kita sama-sama akan dapat
bertindak bagi menentukan perjalanan negara kita seterusnya.
"Sekiranya keamanan dan kemajuan yang anda inginkan, maka
teruslah menyokong BN kerana sepanjang lima tahun lalu, kami sudah pun
membuktikan yang program transformasi telah berjaya membawa kemajuan kepada
Malaysia," katanya dalam blog www.1malaysia.com.my.
Najib berkata lebih banyak program transformasi boleh
direalisasikan sekiranya BN diberi mandat dan kepercayaan untuk meneruskan
menerajui negara.
Dalam pada itu, Najib berkata dalam meneruskan tradisi menepati
janji membawa harapan, BN telah mengumumkan manifesto atau Akujanji kepada
rakyat untuk tempoh pentadbiran seterusnya.
Katanya manifesto itu boleh dilihat dalam bentuk paparan grafik di
laman blog www.1malaysia.com.my dan berharap rakyat dapat berkongsi maklumat
dengan keluarga dan rakan-rakan mereka.
Di samping itu, Najib berkata BN telah melancarkan Kit Tindakan
Online yang boleh dimuat turun sebagai tanda sokongan secara online kepada
parti itu.
"Dengan sokongan itu, kita dapat bersama-sama memastikan
impian kita semua untuk melihat Malaysia menjadi sebuah negara yang aman, maju
dan makmur pada masa akan datang dapat dicapai," katanya.
0 Komen