Isu Undi Popular, Pembangkang Kelirukan Rakyat -Noh Omar

Anggota Parlimen Tanjong Karang Datuk Seri Noh Omar hari ini “menyerang” pakatan pembangkang yang didakwa sengaja mengelirukan rakyat apabila berterusan mengungkit isu undi popular, yang bukan amalan dalam proses pilihan raya di negara ini.

Beliau berkata dengan memainkan isu itu, pembangkang dilihat cuba menukar sistem elektoral yang menjadi amalan dalam pilihan raya di negara ini dengan sistem undi popular untuk kepentingan sendiri.

Bersemangat berhujah selepas 15 tahun terpaksa mendiamkan diri kerana berada dalam barisan Kabinet kerajaan, Noh memberikan beberapa contoh mengenai undi elektoral dan undi popular selain menggunakan analogi sistem kehakiman bagi memperjelaskan isu itu.

Menyanggah pendapat Azmin Ali (PKR-Gombak) yang mencadangkan Malaysia mencontohi Britain dalam pelaksanaan pilihan raya, beliau menegaskan negara ini tidak perlu mengikut amalan negara lain kerana mempunyai undang-undang berdasar kepada acuan sendiri.

“Kalau mengakui (sistem) di Britain itu betul, kenapa tidak boleh lakukan seperti mereka, iaitu terima dan patuh keputusan pilihan raya yang mengikut sistem elektoral, bukannya sistem undi popular,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Menurut Noh dalam pilihan raya Britain 2010, Parti Konservatif tidak dapat membentuk kerajaan setelah hanya memperoleh 305 atau 47 peratus daripada 650 kerusi di Parlimen, berbanding 326 kerusi yang diperlukan untuk membentuk kerajaan berdasarkan majoriti mudah.

Walaupun memperoleh 36 peratus undi popular, parti itu terpaksa bergabung dengan Parti Liberal Democrats untuk membolehkan kerajaan campuran  dibentuk.

“Kalau berdasarkan undi popular, tak perlulah Parti Konservatif itu membentuk pakatan dengan Liberal, tetapi sebab dia patuh dengan undang-undang negara itu, maka dibentuk kerajaan yang bukan berdasar kepada undi popular, tetapi berdasar kepada bilangan kerusi,” katanya.

Beliau turut merujuk isu undi popular dengan keputusan PRU13 di DUN Selangor di mana walaupun BN memperoleh 39 peratus undi popular, ia sepatutnya mewakili 20 wakil rakyat daripada 56 kerusi yang dipertandingkan namun BN hanya mendapat 12 kerusi berdasarkan sistem elektoral yang diamalkan.

“Kita (BN) akur dan menerima keputusan pilihan raya itu,” katanya.

Noh turut menggunakan sistem kehakiman negara dan kes liwat yang membabitkan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai analogi untuk menjelaskan mengenai kebiasaan amalan undang-undang di negara ini.

“Dalam kes itu, dari tujuh hakim yang mendengar kes, lima kata Anwar bersalah, dua kata tak salah. Tetapi kerana amalan sistem undang-undang kita Anwar didapati tidak bersalah…tetapi kalau kita guna sistem majoriti hakim, tentu dia tak akan lepas daripada penjara.

“Berbanding negara luar yang menggunakan sistem majoriti hakim, Malaysia mengamalkan sistem di mana mahkamah lebih tinggi boleh mengenepikan keputusan mahkamah yang lebih rendah.

“Jadi yang kelirukan rakyat bukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetapi pembangkang yang memperdaya rakyat hingga menarik mereka untuk membuat pelbagai program termasuk (perhimpunan) Blackout 505 untuk menipu rakyat,” katanya.

Sementara itu, ketika membahaskan usul sama Datuk Dr Marcus Makin Mojigoh  (BN-Putatan) berkata hasutan pembangkang melalui media sosial berjaya memperdaya rakyat terutama generasi muda, sehingga mendorong melakukan demonstrasi membantah keputusan PRU13.

Beliau berkata sikap tidak bertanggungjawab pihak pembangkang ini adalah bertujuan untuk menggoncang keamanan dan keharmonian negara yang dinikmati oleh rakyat dengan selesa.

Katanya sekiranya pembangkang masih tidak berpuas hati, mereka diberi ruang membantah dan memfailkan petisyen di mana-mana Mahkamah Tinggi, dan bukannya mempersoalkan Suruhanjaya Pilihan Raya.

“Oleh itu, kerajaan wajar mengkaji sebarang cadangan mewujudkan undang-undang baharu untuk pantau pergerakan dan aktiviti blogger dan golongan muda agar tindakan dapat diambil,” katanya.

Merujuk kepada cadangan yang dikemukakan oleh Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu), Marcus berkata Malaysia tidak perlu mengharamkan facebook seperti Vietnam, Iraq dan Thailand, sebaliknya mewujudkan satu akta khas untuk pantau aktiviti di media sosial.

Kepada kenyataan Dr Ong Kian Ming (DAP-Serdang) mengenai dua badan yang diiktiraf sebagai pemantau oleh SPR, beliau berkata: “Badan pemantau ini bukanlah seratus peratus telus dan ‘perfect’ kerana banyak juga berlaku kesilapan manusia.


“Tetapi, akhirnya keputusan PRU diterima kerana itulah keputusan rakyat. Apa yang penting ialah undi rakyat sudah ketara. Rakyat memilih Barisan Nasional diberi kuasa untuk memerintah negara,” katanya.
Tags: , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

1 Komen

  1. Anonymous
    8:05 AM

    Pilihanraya president Amerika tahun 2000. George Bush mendapat undi popular 47.9 % dan Algore mendapat 48.4 % tapi Bush menang. Nak tanya Anwar bagaimana ini boleh berlaku. Mungkin kah Bush menipu.....

Post a Comment