LOMBOK: "Saya ingin minta maaf kepada kedua mentua kerana
melarikan Su ke Lombok. Bukan berniat melukakan hati mereka, saya sayangkan dia
dan perkahwinan kami. Semoga kami dapat membina keluarga bahagia sebaik saya
bekerja di Malaysia nanti," kata Madon Aban, 32, pemuda Lombok yang
melarikan Suriani Abdul Wahab sebelum bernikah dengannya hampir lima tahun
lalu.
Menurutnya, sebagai lelaki bertanggungjawab, dia juga selalu
menasihati Suriani yang lebih mesra dengan panggilan Su supaya memohon maaf
kepada ibu bapa dan ahli keluarga kerana meninggalkan mereka untuk ke Lombok
kerana sedar restu keluarga itu penting di dalam meneruskan kehidupan.
Madon berkata, dia sendiri sering berbual dengan keluarga
mentuanya itu menerusi telefon dan bertanya khabar mereka dan sebagai suami,
dia tidak pernah menghalang Su berhubung dengan adik beradiknya kerana tahu
isterinya juga rindukan kampung halaman dan sanak saudara.
"Sebab itu saya tak halang dia pulang ke Malaysia bertemu
mereka kerana itu yang terbaik. Saya akan menyusul selepas mendapat semua
dokumen berkaitan. Buat masa ini, ia masih dalam proses," katanya ketika
ditemui selepas menerima kunjungan Setiausaha Agung Kelab Putera 1Malaysia
(KP1M), Abdul Khalid Chairul di Kampung Orong, Lombok Barat semalam.
Madon berkata, dia terlalu sayangkan isterinya menyebabkannya
bersetuju memberikan kerjasama kepada KP1M untuk membawa pulang Su bertemu
keluarganya di Baling Kedah.
"Itu yang terbaik buat masa ini dan saya mahu dia menjadi
anak yang taat. Terima kasih juga kepada mentua kerana menerima saya seadanya
dan sudi memaafkan saya walaupun dengan apa yang berlaku," katanya.
Pada pertemuan itu, Madon sempat meneliti laporan akhbar Harian Metro Sabtu
lalu yang memetik ibu mentuanya, Siti Zaleko Wahab, 52, menerima kehadirannya
sebagai menantu dan melupakan kisah silam membabitkan dirinya.
Sementara itu, suasana hiba menyelubungi perkarangan rumah Madon
selepas pegawai Imigrasi Indonesia dan KP1M membawa Su pejabat pihak berkuasa
itu di Kota Mataram untuk proses dokumentasi.
Paling menyentuh hati apabila anaknya, Ismadani, 3, menangis
teresak-esak kerana tidak mahu melepaskan dia pergi sehingga terpaksa
ditenangkan bapanya dan saudara mara terdekat.
Ibu mentuanya Ajiminari,70an, kelihatan sebak ketika Suriani
bersalaman dengan ahli keluarga dan dia tidak ditemubual kerana begitu sedih
kerana terpaksa merelakan pemergian menantu tunggalnya itu.
Turut hadir mengucapkan selamat jalan ialah jiran terdekat yang
menyifatkan Su sebagai seorang yang baik dan mudah mesra selain pandai
mengambil hati mereka biarpun pada peringkat awal berdepan budaya baru di pulau
berkenaan.
11:24 PM
Memohon sifat yg DIPUJI memaafkan adalah sifat yg TERPUJI.......kita manusia tk prnh snyi dr kesilapan.